Hukuman penjara Brandao ditangguhkan

Hukuman penjara Brandao ditangguhkan

PARIS, 12 Mei (AFP)– Penyerang kelahiran Brazil, Brandao diberikan penangguhan selama lima bulan daripada menjalani hukuman penjara dan denda 20 ribu euro, bulan lalu selepas membuat rayuan atas kekasarannya terhadap pemain Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Motta pada 2014.

Perkara itu disahkan sumber daripada badan kehakiman, semalam.

Brandao, 35 yang beraksi bersama pasukan Ligue 1, Bastia pada mulanya diarah menjalani hukuman penjara sebulan oleh mahkamah di Paris bersama denda pada November 2014 namun membuat rayuan.

Menurut sumber, rayuan pada 15 April itu menyaksikan hukuman penjara ke atasnya ditangguhkan.

Pemain Bastia, Brandao (kiri) bersaing dengan pertahanan Angers, Ismael Traore dalam aksi L1 di stadium Armand Cesari Bastia 7 Mei lalu. – AFP
Pemain Bastia, Brandao (kiri) bersaing dengan pertahanan Angers, Ismael Traore dalam aksi L1 di stadium Armand Cesari Bastia 7 Mei lalu. – AFP

Brandao menghentak kepalanya kepada pemain tengah Itali, Motta sehingga menyebabkan patah hidung dengan insiden itu berlaku di terowong persalinan di Parc des Princes susulan perlawanan di antara PSG dan Bastia pada 16 Ogos 2014.

Bekas penyerang kelab Marseille itu turut digantung enam bulan daripada beraksi. Dia mengaku bersalah melakukan serangan itu namun menafikan ia sudah dirancang.

Motta dan PSG tidak memfailkan aduan ke atas Brandao namun pihak polis menggunakan video rakaman di dalam terowong untuk membina kes itu terhadapnya.