Hukuman rosak harta benda ditangguhkan

Hukuman rosak harta benda ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menangguhkan sebutan hukuman bagi seorang lelaki penduduk tetap berusia 42 tahun yang berdepan pertuduhan merosakkan harta benda. Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menangguhkan hukuman kepada 20 Oktober, dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga sebutan hukuman.

Khairuddin bin Haji Jair berdepan pertuduhan merosakkan tingkap dan kipas pengalihan udara di kediaman Hajah Norhayati binti Haji Ludin di Perpindahan Lambak Kanan pada 21 September 2015 sekitar jam 11:20 pagi. Kerosakan yang dilakukan tertuduh dianggarkan bernilai $250. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang tinggal bersebelahan dengan mangsa telah mengambil bata, dan membalingnya ke arah tingkap rumah mangsa. Melihat tingkap rumah itu pecah, tertuduh sekali lagi membaling lebih banyak bata ke rumah mangsa sehingga terkena kipas pengalihan udara di bahagian dapur.

Mangsa yang terdengar bunyi kuat dari tingkap yang pecah telah mengambil rakaman tertuduh membaling bata, dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh dilaporkan dalam keadaan tertekan ketika berjalan-jalan di sekitar rumahnya sebelum memulakan membaling bata ke rumah jirannya. Tertuduh sebelum ini pernah dijatuhi penjara selama tiga bulan pada Jun lalu atas kesalahan yang sama, dan juga di tempat yang sama.

pg06_151016_mahkamah logo

ARTIKEL YANG SAMA