Hukuman Sazali Samad perlu diringankan

Hukuman Sazali Samad perlu diringankan

KUALA LUMPUR, 22 Dis (BH) – Bekas jurulatih bina badan kebangsaan, Abdul Halim Budin memohon pihak bertanggungjawab termasuklah Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) meringankan hukuman selama empat tahun yang dikenakan terhadap ikon sukan itu, Sazali Samad.

Katanya, perkara itu wajar dipertimbangkan memandangkan Sazali banyak memberikan sumbangan terhadap negara selain atlet itu sendiri tidak mengetahui ubatan yang diambilnya itu mengandungi bahan terlarang.

“Memandangkan benda ini Sazali sendiri tidak akan perkara itu malah digantung ekoran kecuaian sendiri dan bukan mandatori, jadi saya harapkan kelonggaran diberikan kepadanya…ataupun tempoh hukuman dipendekkan. “Sazali masih lagi boleh membuat rayuan kerana sukar mencari penggantinya untuk bertanding mewakili negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam PBBM secara sahnya menggantung atlet berusia 48 tahun itu selama empat tahun selepas didapati gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu.

Hukuman itu berkuat kuasa 22 September lalu, iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan.

Sementara itu, Sazali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai penggantungan dikenakan terhadap dirinya sebaliknya hanya meminta semua pihak menanti kenyataan akhbar yang akan dikeluarkan.

“Semua ini adalah ujian daripada Allah SWT buat saya…saya mahu diberikan masa untuk menenangkan fikiran terlebih dulu sebelum memberikan ulasan lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA