Hull ikat Ryan Mason

Hull ikat Ryan Mason

LONDON, 31 Ogos – Kelab elit Inggeris Hull City mengumumkan kelab itu menandatangani pemain tengah, Ryan Mason daripada Tottenham Hotspur semalam dengan kontrak selama tiga tahun yang juga ‘rekod perpindahan kelab itu’.

Hull tidak menyatakan secara khusus nilai yang dibayar bagi mendapatkan pemain berumur 25 tahun itu tetapi mereka dilaporkan berbelanja 10 juta pound ketika menandatangani Abel Hernandes yang juga rekod bagi kelab itu pada 2014.

Mason adalah salah seorang daripada tiga pemain baharu yang menyertai Hull semalam dengan penjaga gol, David Marshall tiba daripada Cardiff City dan penyerang, Will Keane menyertai mereka daripada Manchester United.

“Saya gembira dan teruja berada di sini,” kata Mason dalam laman web Hull. “Saya tidak sabar untuk bermula dan saya lihat ini adalah peluang besar bagi saya.”

Kerjaya Mason bermula ketika remaja bersama Tottenham Hotspur dan melakukan penampilan pertama pada umur 17 tahun, November 2008.

Dia kemudian menghabiskan masa sebagai pemain pinjaman di Yeovil Town, Doncaster Rovers, Millwall, selain kelab Perancis, Lorient dan Swindon Town.

Mason kemudiannya berada dalam pasukan pertama Spurs pada musim 2014-15, dengan 31 penampilan liga dan kali pertama menyertai England apabila seri 1-1 dalam aksi persahabatan dengan Itali pada Mac 2015.

Tetapi kemunculan Eric Dier dan Dele Ali mengehadkan penglibatan beliau musim lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi dia akan mencari kelab baru. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA