Hummels belum pasti cergas berdepan Atletico

Hummels belum pasti cergas berdepan Atletico

BERLIN 28 Sept – Sudah pasti Mats Hummels terpaksa menunggu dengan penuh debaran sama ada dia cukup cergas untuk diturunkan menentang Atletico Madrid esok selepas cedera sewaktu Bayern Munich melakar kemenangan 1-0 di Hamburg.

Atletico akan melayan Bayern di Stadium Vicente Calderon, Madrid dengan kedua-dua pasukan masing-masing sudah meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Liga Juara-juara.

Bagaimanapun, Hummels ditimpa kecederaan apabila terpaksa dibawa keluar selepas 50 minit permainan berlangsung yang berkesudahan Bayern meraih kemenangan, sekali gus mengekalkan skuad Carlo Ancelotti itu di kedudukan pendahulu Bundesliga selepas lima kemenangan daripada lima perlawanan.

“Saya berdepan masalah di bahagian lutut tidak lama sebelum rehat.

Kami berharap situasi ini tidak memudaratkan selagi saya mampu bergerak, tetapi nampaknya keadaan semakin teruk.

Hummels (tengah kiri) berjabat tangan dengan Carlo Ancelotti selepas mendapat kecederaan ketika menentang Hamburger SV di Hamburg, 24 September lalu. – AP
Hummels (tengah kiri) berjabat tangan dengan Carlo Ancelotti selepas mendapat kecederaan ketika menentang Hamburger SV di Hamburg, 24 September lalu. – AP

“Kami mengandaikan masalah itu sekadar pelanggaran kecil setelah ujian pertama tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan, tetapi tiada jaminan,” kata pertahanan Jerman itu kepada Sky selepas Bayern mencipta kemenangan dan muncul sebagai kelab tunggal dalam Bundesliga yang mengekalkan kemenangan setakat ini.

Di bawah bimbingan Ancelotti, Bayern telah memenangi kesemua lapan perlawanan musim ini dalam semua pertandingan.

Joshua Kimmich meledakkan jaringan pada penghujung permainan di Hamburg selepas hantaran Thiago Alcantara diterima kemas oleh Franck Ribery di sayap kiri dan pemain Perancis itu kemudian berjaya menyempurnakan hantaran lintang yang melepasi benteng pertahanan tuan rumah.

Dengan kemenangan tersebut, Bayern tiga mata di depan Borussia Dortmund yang menghuni tempat kedua setelah mereka menumpaskan Freiburg 3-1 Jumaat lalu dengan jaringan Pierre-Emerick Aubameyang untuk gol kelimanya selepas lima perlawanan.

Dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah kelmarin, pasukan Bundesliga Jerman, berjaya mengekang rentak kelab La Liga Sepanyol Real Madrid untuk berkongsi mata, sekali gus menggagalkan hasrat Pemain Terbaik Eropah Ronaldo untuk mencatatkan rekod dalam pertemuan itu.– AFP

ARTIKEL YANG SAMA