Hummels sertai Bayern

Hummels sertai Bayern

BERLIN, 11 Mei (AFP) – Borussia Dortmund hari ini mengesahkan pemain pertahanannya, Mats Hummels sudah berpindah ke Bayern Munich. Dalam masa sama, Bayern turut mengumumkan perpindahan pemain remaja Benfica, Renato Sanches ke kelab mereka.

Hummels, 27, adalah bintang Dortmund ketiga bakal menyertai Bayern dalam tempoh tiga tahun selepas midfield Mario Goetze berbuat demikian pada 2013, diikuti penyerang Robert Lewandowski pada 2014.

“Bagi musim 2016/17, pemain Borussia Dortmund, Mats Julian Hummels akan berpindah ke FC Bayern Munich,” kata Dortmund.

“Kedua-dua kelab kini sudah mencapai kata persetujuan secara prinsipnya dan perpindahan secara rasmi serta pemeriksaan kesihatan pemain itu akan selesai dalam beberapa hari.”

Mats Hummels bersama Marcel Schmelzer meninggalkan stadium Dortmund selepas menang menentang Wolfsburg dalam aksi Bundesliga 30 April lalu. – AP
Mats Hummels bersama Marcel Schmelzer meninggalkan stadium Dortmund selepas menang menentang Wolfsburg dalam aksi Bundesliga 30 April lalu. – AP

Laporan di media Jerman berkata Bayern membayar sehingga 38 juta Euro bagi mendapatkan Hummels, yang masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Dortmund.

Meninggalkan Bayern pada 2009 untuk menyertai pasukan Dortmund, Hummels kembali ke gergasi Bavaria selepas memenangi gelaran liga Jerman sebanyak dua kali bersama Dortmund (2011 dan 2012) serta Piala Jerman (2012) sebelum membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil.

Bayern juga mengumumkan berjaya mendapatkan pemain remaja dari Portugal, Sanches dari Benfica dengan kontrak lima tahun, sekali gus berjaya menewaskan Manchester United yang turut berusaha mendapatkan pemain itu.