Hun Sen nasihat rakyat jaga pemakanan, elak keracunan

Hun Sen nasihat rakyat jaga pemakanan, elak keracunan

PHNOM PENH, 14 Dis (AFP) – Perdana Menteri Kemboja Hun Sen hari ini menasihatkan rakyat supaya memberikan lebih perhatian ke atas keselamatan makanan ekoran kejadian 19 orang terkorban akibat keracunan wain beras yang turut menyebabkan 172 yang lain terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Saya merayu semua rakyat agar memberikan lebih perhatian ke atas keselamatan makanan demi kesihatan dan nyawa anda semua,” kata perdana menteri pada satu persidangan keagamaan di sini.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan memperluaskan pemeriksaan demi memastikan kejadian yang sama tidak berulnag lagi.

Menurut Kementerian kesihatan, wain beras yang dicampurkan alkohol toksik mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang dan menyebabkan 172 orang menerima rawatan di hospital di bahagian timur laut Kemboja.

“Ujian makmal mendapati kematian adalah berpunca daripada tahap metanol yang tinggi dalam wain,” beritahu Ly Sovann, jurucakap Kementerian Kesihatan, kepada AFP.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Pihak berkuasa tempatan di wilayah Kratie, di mana penduduk telah jatuh sakit sejak 19 November selepas meminum alkohol tercemar, telah mengarahkan semua pembuat bir tempatan dan penjual wain beras ditutup buat sementara waktu.

Ujian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati sesetengah wain yang terbabit dalam sekurang-kurangnya lima kejadian berasingan mengandungi sehingga 12 peratus metanol, tahap biasa adalah kira-kira 0.15 peratus.

Media tempatan melaporkan kira-kira 172 orang yang dimasukkan ke hospital telah mengalami muntah-muntah dan pening-pening.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu, kata Kementerian Kesihatan semalam dalam satu kenyataan tetapi tidak ada penangkapan yang telah dibuat setakat ini.

Menteri Kesihatan, Mam Bunheng berkata dalam kenyataan bahawa orang harus meminum wain beras atau herba yang dihasilkan tanpa pemeriksaan yang betul atau permit daripada pihak berkuasa.

Kementerian berkata ia sedang bekerja dengan rakan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memperkukuh keselamatan makanan di negara.

Enam daripada kematian telah diumumkan sebelumnya sebagai berpunca daripada daging anjing yang reput, tetapi kementerian berkata ujian selanjutnya telah menunjukkan wain merupakan punca keracunan.

Penduduk Kemboja sering meminum wain beras tempatan, yang tidak mahal tetapi boleh menjadi berbahaya jika tidak dicampurkan dengan betul.

Kematian disebabkan kelompok wain beras yang rosak adalah perkara lazim, walaupun kematian pada skala ini adalah jarang berlaku.

Pada 2010, sekurang-kurangnya 17 warga Kemboja maut di timur wilayah Kampong Cham selepas meminum wain beras daripada botol yang digunakan untuk racun rumpai sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA