Hungary benam Austria

Hungary benam Austria

BORDEAUX, 15 Jun (AFP) – Adam Szalai dan Zoltan Stieber menjaringkan gol pada separuh masa kedua ketika Hungary mengejutkan Austria 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F mereka di Bordeaux semalam.

Austria yang digambarkan sebagai kuda hitam dalam perlawanan itu, mendominasi tempoh awal tetapi Szalai meletakkan Hungary di depan pada minit ke-62 dengan Stieber melengkapkan kemenangan ke atas pesaing lama mereka dalam 138 pertemuan di antara kedua-dua pasukan.

Pemain Austria Aleksandar Dragovic diarah meninggalkan padang sejurus selepas Szalai menamatkan kemarau jaringan selama 18 bulan ketika Hungary mempamerkan rentak kemenangan dalam perlawanan utama setelah kali terakhir beraksi pada Piala Dunia 1986.

“Para pemain bekerja keras,” kata jurulatih Hungary, Bernd Storck, yang sebelumnya menggambarkan kelayakan bagi perlawanan itu sebagai “ajaib”.

“Perlawanan hari ini menentang pasukan yang sukar. Kami perlu beraksi dengan baik. Kami memiliki sedikit nasib baik, tetapi anda perlu nasib yang baik dalam bola sepak.”

Pemain Hungary Adam Szalai (bawah kanan) menjaringkan gol pen-dahuluan pasukan ketika menentang Austria di stadium Matmut Atlantique, Bordeaux kelmarin. – AFP
Pemain Hungary Adam Szalai (bawah kanan) menjaringkan gol pen-dahuluan pasukan ketika menentang Austria di stadium Matmut Atlantique, Bordeaux kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Jurulatih Austria, Marcel Koller berang dengan persembahan mengecewakan pasukannya sekali gus menjejaskan semangat mereka menjelang pertemuan menentang Portugal di Paris, Sabtu ini.

“Malangnya kami tidak dapat melakukan apa yang kami mahukan,” katanya. “Mungkin sebahagian pemain merasa gentar kerana ia baru permulaan.

“Kami tidak dapat menekan butang dan berkata, “Sekarang saya akan beraksi pada tahap terbaik. Keadaan sekarang ialah kami perlu mencuba dan menang ke atas Portugal.”

Penjaga gol Hungary, Gabor Kiraly mengekalkan permainan bersih walaupun menjadi pemain pertama berusia 40 tahun beraksi dalam Kejohanan Eropah, sekali gus mengatasi Lothar Matthaus dari Jerman sebagai pemain tertua dalam sejarah perlawanan itu.

Kapten pasukan Austria, Christian Fuchs dan pemain sayap Martin Harnik adalah dua pemain yang masih beraksi dari kempen negara itu lapan tahun lalu dan disenaraikan dalam barisan utama Koller.

ARTIKEL YANG SAMA