Hungary pasang perintang dawai berduri

Hungary pasang perintang dawai berduri

BUDAPEST, 18 Sept (AFP) – Pasukan tentera Hungary mula memasang perintang dawai berduri semalam di sepanjang sempadan dengan Croatia untuk menghalang penghijrah, kata Perdana Menteri Viktor Orban hari ini.

“Ketika waktu malam kerja telah pun bermula membina penutupan sempadan teknikal. Nampaknya kami tidak boleh berharap bantuan pada sesiapa pun,” Orban berkata dalam temu bual di radio awam, selepas beribu-ribu penghijrah memasuki Croatia untuk membuat perjalanan ke utara Eropah.

“Pasukan-pasukan telah dikerah, 600 orang tentera telah pun berada di tempat itu, 500 akan mengawal di sana sepanjang hari, dan ratusan pada hujung minggu. Dua ratus anggota polis telah dikerah ke sempadan Croatia,” katanya lagi.

“Tidak akan ada busut untuk bersembunyi di belakang, kami akan mempertahankan sempadan kami.”

Pada minggu ini Hungary menutup sempadannya dengan Serbia, yang memutuskan tempat kemasukan utama ke Kesatuan Eropah bagi berpuluh-puluh ribu penghijrah dari Timur Tengah, Asia dan Afrika yang membuat perjalanan melalui barat Balkan. Hal itu melencongkan lebih 11,000 orang penghijrah dari Serbia ke Croatia, mengejutkan pihak berkuasa tempatan dan memaksa Zagreb menutup kebanyakan sempadannya hari ini.

Media tempatan melaporkan kumpulan-kumpulan kecil penghijrah menyeberang masuk ke Hungary dari Croatia semalam.

Hari ini polis berkata bahawa 453 penghijrah haram ditahan di wilayah Baratnya – bersebelahan sempadan Croatia – menjelang tengah malam, kebanyakannya warga Syria dan Afghanistan.

“Laluan barat Balkan masih di sana. Walaupun sempadan Hungary dan Serbia kini ditutup, ia tidak menghentikan pengaliran, kata Orban.

ARTIKEL YANG SAMA