Husaini, Raihana johan Tilawatil Quran belia

Husaini, Raihana johan Tilawatil Quran belia

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel serta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M.

Majlis dibuka dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang kemudiannya diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain ke majlis itu malam tadi.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain ke majlis itu malam tadi.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah tempat ketiga qari kepada Awangku Adi Nazri dari Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah tempat ketiga qari kepada Awangku Adi Nazri dari Negara Brunei Darussalam.
Johan qariah dari Filipina semasa mengalunkan ayat suci Al-Quran di majlis itu.
Johan qariah dari Filipina semasa mengalunkan ayat suci Al-Quran di majlis itu.
Antara yang hadir di Majlis Penganugerahan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam tadi.
Antara yang hadir di Majlis Penganugerahan Hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam tadi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan yang disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Muncul johan bahagian qari ialah peserta dari Malaysia, Mohamad Husaini bin Mahnur diikuti peserta dari Filipina, Kamaruddin Gunda Zaidon di tempat kedua dan Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dari Brunei Darussalam di tempat ketiga.

Dalam kategori qariah pula, johan disandang oleh peserta dari Filipina, Raihana Guiamlod Ambangala, diikuti oleh peserta Indonesia, Munawaroh Tarmizi Ilyas di tempat kedua dan Awatif binti Abdul Majid dari Malaysia di tempat ketiga.

Selepas persembahan bacaan oleh barisan johan qari dan qariah, Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang, peserta dan barisan hakim yang terlibat dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-7 yang telah bermula pada 15 September lalu, sebelum diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan.