Hutan bakau, tulang belakang ekonomi setempat

Hutan bakau, tulang belakang ekonomi setempat

JOAL – Burung flamingo, monyet dan malah dubuk kini semakin terancam di Senegal, begitu juga dengan kehidupan penduduk setempat apabila sejumlah besar kawasan bakau mula lenyap.

Dan kelihatannya roh nenek moyang sendiri tidak akan dapat menyelamatkan mereka.

Kawasan Joal yang dilindungi marin (AMP) di barat Senegal, utara Gambia, merupakan tempat tinggal bagi biodiversiti yang kaya.

Tumbuhan bakau yang tahan lasak itu boleh menangani air masin, lumpur tebal dan panas, keadaan lembap yang boleh membunuh sebahagian besar tumbuhan-tumbuhan lain.

Sebahagian daripada Petite Cote Senegal, hutan bakau Joal semakin terhakis oleh beberapa faktor, termasuk pemanasan global, pembasmian hutan, kerja-kerja awam, tiram, dan pemasinan air sungai serta kemarau.

Pengurus di Joal AMP, Abdoulaye Sagna. – AFP
Pengurus di Joal AMP, Abdoulaye Sagna. – AFP
Senegal telah kehilangan 40 peratus daripada kawasan bakaunya sejak 1970an. – AFP
Senegal telah kehilangan 40 peratus daripada kawasan bakaunya sejak 1970an. – AFP

Di sepanjang dasar sungai, beberapa jalur gumuk pasir telah mula kelihatan di kawasan yang sebelumnya dipenuhi dengan pokok-pokok bakau.

“Kawasan-kawasan kosong itu merupakan tempat di mana hutan bakau lenyap,” kata seorang pengurus di Joal AMP, Abdoulaye Sagna.

Tumbuhan-tumbuhan bakau bukan sahaja tahan lasak. Para saintis kini percaya bahawa ia juga beperanan penting untuk keberadaan planet ini secara keseluruhan.

Sistem bakau Senegal mendukung lingkungan spesies dan organisma yang begitu luas.

Pokok-pokok baobab dan pokok akasia tumbuh di antara akar-akarnya yang berbelit-belit itu, yang merupakan habitat bagi moluska, ketam dan serangga.

Haiwan-haiwan seperti monyet dan dubuk juga tinggal di kawasan bakau, malah pelbagai jenis burung juga membuat sarang di pokok-pokoknya.

“Kesemua spesies ini merupakan mangsa hilangnya hutan bakau,” jelas Sagna.

Kawasan yang dilindungi itu boleh dikatakan sangat luas tetapi di luar AMP, kawasan bakau semakin hilang, menurut seorang ahli Jawatankuasa Pengurusan AMP Joal, Abdou Karim Sall.

Hutan bakau mengalami degradasi

Tetapi beliau menegaskan dengan penubuhan kawasan yang dilindungi seluas 174 kilometer persegi telah memberikan kesan positif dalam melindungi alam sekitar setempat.

“Tidak ada apa-apa di sini, tiada tumbuhan bakau, tetapi sejak tahun 2009 kami mula menghutankan semula,” kata Sall.

“Di beberapa buah kampung yang tidak dilindungi oleh AMP, hutan bakau di sana telah mengalami degradasi. Kami bimbang ia akan lenyap di beberapa kawasan tertentu di mana keseluruhan hektar ditebang.”

Meskipun dengan dasar penghutanan semula, Senegal juga kehilangan sebahagian besar kawasan bakaunya, kepada mereka yang mendapatkan kayu api dan bahan-bahan binaan.

“Senegal telah kehilangan 40 peratus daripada kawasan bakaunya sejak 1970an,” kata seorang pakar ekologi, Haidar El Ali, bekas menteri alam sekitar.

Kelihatan beberapa orang penduduk kampung mengutip tiram di kawasan bakau Joal. – AFP
Kelihatan beberapa orang penduduk kampung mengutip tiram di kawasan bakau Joal. – AFP
Dengan kawasan bakau semakin menyusut, ia menjadi semakin sukar untuk mendapatkan tiram dan kima.  – AFP
Dengan kawasan bakau semakin menyusut, ia menjadi semakin sukar untuk mendapatkan tiram dan kima.
– AFP

Dengan kawasan bakau semakin menyusut, ia menjadi semakin sukar untuk mendapatkan tiram dan kima, yang merupakan tulang belakang ekonomi setempat.

“Sebelum ini, apa yang anda perlukan adalah pergi 10 meter ke sungai untuk mendapatkan tiram dan kima. Tetapi kini, anda perlu pergi lebih jauh lagi,” kata ketua bagi kumpulan pedagang makanan laut, Marie-Madeleine Diouf.

“Sukar untuk kami mendapatkan kuantiti yang kami mahu dan permintaan pula semakin meningkat.”

Selain daripada penangkapan moluska, Joal juga terkenal bagi pelancongan dan pertukangan tangan setempat.

Roh nenek moyang

Tetapi itu telah menarik orang luar yang tidak berprinsip, dan roh nenek moyang sendiri di dalam masyarakat yang mempunyai kepercayaan yang kuat itu tidak mampu menyelamatkan tumbuhahan bakau daripada dieksploitasi.

“Roh nenek moyang Joal, Mama Ngueth, pelindung bandar itu, telah mengharamkan penebangan pokok-pokok bakau,” kata Sall.

“Semua orang menghormati pengharaman itu dan percaya bahawa roh itu adalah faktor bagi pemuliharaan hutan bakau.

“Tetapi kini terdapat lebih ramai pendatang di Joal yang tidak mempedulikan roh itu, atau pemuliharaan hutan bakau.”

Menurut Diouf, perjuangan bagi pemuliharaan hutan bakau adalah sesuatu yang berbaloi. – AFP