Hutan hujan tropika tanggungjawab bersama

Hutan hujan tropika tanggungjawab bersama

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Pemuliharaan hutan hujan adalah tanggungjawab semua pihak dan ia bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata; semua orang dalam masyarakat mempunyai kepentingan dalam pemuliharaan dan perlindungan hutan.

“Oleh itu, perlu untuk kita menggalakkan lebih banyak kerjasama daripada pelbagai agensi sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan pertubuhan lain yang berkaitan berkongsi kepakaran mereka dalam melindungi hutan dan bertindak secara keseluruhan dalam pemuliharaan ekosistem hutan hujan tropika.”

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik (APRS) ke-2 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Sebelum itu, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa industri perhutanan memainkan peranan penting dalam pengurusan ekosistem hutan hujan tropika yang mapan.

Ini kerana, menurutnya, industri perhutanan akan dapat membawa kembali pelaburan ke dalam program-program sektor perhutanan dan kewangan perhutanan yang akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan hutan dan pengeluarannya secara mapan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2.

Perkara ini telah pun dibincangkan semasa sidang kemuncak berkenaan, yang mana industri tersebut mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada ekonomi dan keupayaannya dalam pengurusan hutan yang mapan.

Oleh itu, perhimpunan yang diadakan di sidang kemuncak ini bukan sahaja memberikan pembelajaran dan pengalaman kepada peserta malahan ia merupakan komitmen mereka dalam menyokong pengurusan hutan hujan Asia Pasifik yang mapan.

Sidang kemuncak itu juga adalah untuk mencari penyelesaian dan jawapan dalam menangani isu-isu global perubahan iklim dan kemusnahan hutan, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali lagi.

Bagi menggalakkan tadbir urus hutan hujan tropika yang berkesan, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menjelaskan, institusi kerajaan mempunyai peranan yang sangat penting dalam membangunkan dasar-dasar dan strategi yang sesuai dalam mewujudkan persekitaran yang baik untuk mengamalkan pengurusan hutan yang mapan.

Pada sidang tersebut, perkongsian maklumat, bantuan kewangan dan teknikal yang telah dikongsikan pasti akan melanjutkan keupayaan dan akan memudahkan pencapaian matlamat dan komitmen negara.

Yang Berhormat Dato turut melahirkan harapan, sidang kemuncak ini akan dapat memberikan peluang dalam meluaskan rangkaian kerjasama bersama pelbagai agensi yang berkaitan.

APRS 2016 merupakan platform unik bagi negara-negara rantau Asia Pasifik untuk meneroka bagaimana kepelbagaian ekonomi boleh menyokong agenda pembangunan dan alam sekitar.

Dalam persidangan selama tiga hari itu, pihak-pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada wakil sektor kerajaan, perniagaan, persatuan awam dan komuniti penyelidikan telah pun berkumpul untuk membincangkan dan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan hutan hujan mapan.

APRS merupakan acara antarabangsa yang dihoskan oleh Brunei dan disokong oleh kerajaan Australia, mengetengahkan pertemuan dan perbincangan daripada pelbagai peserta mengenai usaha memangkinkan tindakan praktikal untuk mengurangkan emisi daripada kehilangan hutan dan kemusnahan hutan serta bagi mencapai pembangunan mapan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA