Hutang China cecah tahap tertinggi

Hutang China cecah tahap tertinggi

BEIJING, 19 Sept – Ukuran utama hutang China telah mencecah tahap tertinggi yang pernah dicatat, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai risiko ke atas sistem perbankan, lapor pemerhati perbankan Swiss.

Jurang kredit-berbanding-KDNK China mencecah 30.1 peratus dalam suku pertama 2016, tahap tertinggi yang pernah dicatat dan jauh melebihi tahap 10 peratus yang dikaitkan dengan risiko perbankan, kata Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS) dalam laporan suku yang dikeluarkan lewat semalam.

Ia memberikan China satu amaran, satu tahap yang dikatakan bertujuan menandakan kemungkinan berlakunya krisis kewangan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ekonomi kedua terbesar dunia itu sedang bergelut dengan peralihan ekonomi yang sukar, tatkala Beijing berusaha merangsang pertumbuhan lembap dengan pengenalan kredit murah.

Namun penganalisis mengingatkan bahawa pemulihan yang dimarakkan oleh hutang mungkin bersifat sementara, dan pinjaman yang meningkat menghadapi risiko mencetuskan krisis kewangan tatkala pinjaman lapuk dan kegagalan membayar bon semakin meningkat.

BIS meletak jumlah hutang China untuk tempoh tersebut melebihi semua negara dalam tinjauan, yang meliputi 41 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Greece dan United Kingdom.

Petunjuk amaran awal BIS bertujuan mengawal “krisis kewangan yang mungkin berlaku” dalam jangka sederhana, dan memaparkan pertumbuhan kredit yang pesat mungkin “menyemai benih” untuk krisis masa akan datang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA