Hutang kerajaan pada tahap boleh ditangani – Najib

Hutang kerajaan pada tahap boleh ditangani – Najib

KUALA KANGSAR, 10 Jun – Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kedudukan hutang negara ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.

“Jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016, di sini hari ini.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir, mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan RM500 kepada setiap penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah.

Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan masyarakat India di kawasan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di SJK(T) Ghandi Memorial, Kuala Kangsar, semalam. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan masyarakat India di kawasan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di SJK(T) Ghandi Memorial, Kuala Kangsar, semalam. – Bernama

Kerajaan akan membayar Rm194 juta tahun ini kepada 388,111 pekebun kecil dan penoreh getah. Oleh itu Najib meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu kononnya negara mempunyai hutang yang amat banyak.

“Pakai dan dengar apa yang Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) cakap. Semua cakap ekonomi negara di bawah Barisan Nasional (BN) diurus dengan baik,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di sebalik kelembapan ekonomi global.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, yang merupakan hasil daripada kutipan GST.

“Inilah sebabnya bila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) minta bantuan raya, kita dapat beri. Kalau tiada cukai macam mana kerajaan dapat bagi. Sistem ini (GST) bukan nak susahkan rakyat, tapi ia untuk kebaikan negara. Bila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat,” kata Perdana Menteri.

GST dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. – Bernama