Hyundai Accent milik Awang Hasnan

Hyundai Accent milik Awang Hasnan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Tuah memihak kepada Awang Hasnan bin Haji Salleh apabila dipilih untuk menjadi pemenang utama Promosi Cabutan Bertuah Hyundai Accent 2016 sekali gus memenangi sebuah kereta Hyundai Accent 1.4 Liter dalam majlis cabutan akhir yang berlangsung di Bilik Pameran Setia Motors, Beribi, hari ini.

Awang Hasnan ketika ditemui Media Permata berkata, “Ini merupakan hadiah paling besar yang pernah saya dapat, dan hadiah ini saya akan saya hadiahkan kepada isteri saya sempena hari jadi saya yang akan datang di hujung bulan Ogos ini.”

Menurutnya lagi, ini merupakan kali pertama dan yang terbesar dalam seumur hidupnya memenangi hadiah sedemikian, serta yang paling berharga.

Terdahulu beliau menceritakan bahawa pada awalnya beliau tidak mengetahui akan adanya cabutan bertuah bagi memenangi Hyundai Accent berkenaan ketika sedang meninjau pengedar-pengedar kereta yang ada di Brunei untuk membeli sebuah kereta bagi kegunaan anaknya yang baru mendapatkan lesen memandu untuk pergi ke sekolah.

“Akhirnya, isteri saya berkenan dengan Hyundai memandangkan sebelum ini kami pernah membeli kereta berupa Hyundai H-1 di sini juga,” jelasnya.

Awang Hasnan dan isterinya bergambar bersama kereta Hyundai Accent yang baru dimenanginya.
Awang Hasnan dan isterinya bergambar bersama kereta Hyundai Accent yang baru dimenanginya.

Sejurus selepas membuat keputusan untuk membeli Hyundai Accent, pada bulan Jun yang lepas, Awang Hasnan dimaklumkan oleh salah seorang jurujual bahawa beliau berkelayakan untuk mengikuti Cabutan Bertuah Hyundai Accent 2016.

Majlis cabutan berkenaan turut menyaksikan tujuh pemenang lain membawa pulang Samsung Galaxy J5 tajaan MBA, dua set Oppo Neo 9 tajaan Insurans Islam TAIB, dua set Samsung Galaxy A3 tajaan Baiduri Finance Berhad, dan dua set Samsung J1 tajaan BIBD At-Tamwil.

Hadir bagi menyampaikan hadiah utama cabutan akhir berkenaan ialah Pengurus Besar Setia Motors Sdn Bhd, James Chin. Turut hadir ialah Pengurus Jualan Setia Motors, Fadhillah Sulaiman; Pengarah Pengurusan BIBD At-Tamwil, Irwan bin Lamit; Pengurus Besar Baiduri, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib, Pengurus Jualan Baiduri, Muhammad Ali bin Haji Metussin; Pengarah Pengurusan Insurans Islam TAIB, Haji Osman bin Jair; Abdul Maji Hidup dari Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Insurans Islam TAIB, para pemenang-pemenang bertuah serta ahli keluarga mereka.

Promosi anjuran Setia Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal jenama Hyundai Brunei itu telah dimulakan sejak 1 Mei dan berakhir pada 31 Julai yang lalu. Pada 5 Ogos yang lalu, daripada 68 orang pelanggan yang telah membeli kereta Hyundai Accent, lapan daripadanya telah dipilih untuk mengikuti cabutan akhir tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA