Hyundai i20 Active lebih sporty

Hyundai i20 Active lebih sporty

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Syarikat pengedar tunggal kenderaan Hyundai, Setia Motors Sdn Bhd, kini memperkenalkan model terbaru siri i Crossover, iaitu Hyundai i20 Active dan sudah boleh diuji pandu di dewan pamerannya.

Model i20 Active yang mirip gabungan Hatchback dan SUV, direka cipta berdasarkan reka bentuk model terlaris i20 Elite yang pada masa sama memberikan ciri-ciri pemanduan kenderaan crossover yang sungguh selesa.

Ketika memperkenalkan model terbaru Hyundai ini kepada pemberita semalam, wakil jualan Setia Motors memberitahu siri i20 Active dipacu dengan sistem enjin petrol Kappa 1.4 c.c. yang berkuasa kuda 100PS dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Berbeza dengan model i20 sebelumnya, model i20 Active dilengkapi beberapa ciri kosmetik yang dikemas kini seperti peredam udara depan yang dipadankan dengan bampar dua tona.

Ruang pemandu yang selesa.
Ruang pemandu yang selesa.

Model ini juga tampak lebih sporty dengan skid plate gaya baru di fasia depan serta bampar bentuk baru yang menempatkan sepasang lampu kabut bersaiz besar, lampu depan yang menganjur ke sisi badan dan dipadankan dengan pemegang pintu krom bagi menyerlahkan lagi reka bentuknya yang sporty itu.

Walaupun ia menyerlahkan ciri Crossover SUV dan Hatchback, menjenguk ke ruang penumpang di dalamnya akan menimbulkan rasa seolah-olah berada di dalam sebuah kenderaan sedan kerana ruang tempat duduk penumpang belakang dan ruang kaki yang luas dan selesa.

Ruang dalamnya juga kelihatan sporty dengan hiasan kombinasi warna dua tona, sama ada kombinasi hitam dan jingga atau akua biru dan hitam, manakala itu, pedal kaki bersalut krom dan tombol gear yang berwarna.

Model i20 Active dengan gaya menarik dan sporty.
Model i20 Active dengan gaya menarik dan sporty.
Sistem pacuan enjin Kappa 1400 c.c. 100 PS model Crossover i20 Active.
Sistem pacuan enjin Kappa 1400 c.c. 100 PS model Crossover i20 Active.

Bahagian belakangnya juga berbeza dengan hiasan skid plate berwarna perak dan reka bentuk bampar baru yang menempatkan lampu pengimbas bulat.

Ruang mud guard tayar dan sekeliling badan kenderaan itu pula dilapisi dengan lapisan plastik berwarna kehitam-hitaman yang dipadankan dengan roda aloi bersaiz 16 inci.

Mereka yang ingin meninjau dengan lebih dekat akan keistimewaan model Hyundai i20 Active dan ciri-cirinya boleh berkunjung sendiri ke Dewan Pameran Setia Motors Sdn Bhd di Beribi.

ARTIKEL YANG SAMA