Hyundai Motor tawar sistem Android Auto Google

Hyundai Motor tawar sistem Android Auto Google

SEOUL, 27 Mei (AFP) – Hyundai Motor Korea Selatan mengatakan hari ini ia telah menjadi pembuat kereta pertama yang menawarkan sistem Android Auto Google dalam model Sonatanya yang dijual di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu mengatakan para pengguna telefon pintar Android AS dengan kereta sedan Sonata 2015 kini boleh meminta peniaga kereta untuk memuat turun sistem itu dengan percuma jika mereka memiliki kenderaan dengan Navigasi itu.

Para pengguna Android akan dapat memasang telefon mereka ke dalam kereta dan mempunyai butiran lain seperti Navigasi, mesej dan panggilan yang muncul pada skrin sesentuh lapan inci kenderaan itu, katanya.

Hyundai, kumpulan auto kelima terbesar di dunia dengan gabungan Kia Motors, berjanji untuk memasang sistem Android dalam model lain, bersama dengan versi Apple bagi sistem yang digelar CarPlay.

“Android Auto sejajar dengan prinsip rekaan dalaman asas Hyundai iaitu keselamatan, intuitif dan kesederhanaan,” kata CEO Hyundai Motor America, Dave Zuchowski dalam satu kenyataan yang disiarkan di California.

“Dengan pelancaran Android Auto itu, kami membekalkan lebih banyak pengalaman kepada pemilik dengan teknologi canggih,” tambahnya.

Hyundai mengatakan sistem Android meningkatkan keselamatan dengan ia akan dapat menghalang para pemandu daripada terganggu.

Skrin telefon pintar akan ‘dikunci’ oleh itu para pemandu tidak akan tertarik untuk melihat ke bawah dan berinteraksi dengan telefon mereka secara terus ketika Android Auto sedang digunakan, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA