I Team benam Media FC 14-1

I Team benam Media FC 14-1

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – I Team membelasah Media FC 14-1 dalam satu daripada tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan Kejohanan Bola sepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 petang ini.

Perlawanan dalam Kumpulan A di Kompleks Sukan Menglait itu menyaksikan I Team sudah selesa mendahului 7-1 pada separuh masa pertama sebelum menambah tujuh gol lagi pada separuh masa kedua.

Awang Hamdani bin Haji Tinggal merobek gawang Media FC seawal minit pertama, disusuli dengan jaringan Awang Ratano bin Haji Tuah tiga minit kemudian dan kedudukan segera menjadi 3-0 pada minit ke-6 apabila giliran Awang Kula bin Mohammad pula menggegar gawang Media FC.

Masuk minit ke-12 perlawanan, I Team mendahului 4-0 hasil jaringan Awang Mustapa bin Haji Saban, dan 12 minit kemudian kedudukan menjadi 5-0 menerusi sumbangan gol Awang Noor Masaidrwan bin Md Sani.

Awang Kula mendapat gol kedua peribadinya pada minit ke-26 untuk terus membawa pasukannya selesa di depan, 6-0. Empat minit kemudian Media FC berjaya juga membolosi pertahanan I Team dengan Awang Mohd Azman bin Haji Jais meletakkan namanya sebagai penjaring tunggal Media FC.

I-Team (kelabu) menang besar 14-1 ke atas Media FC dalam aksi KBVK DST 2016 di padang Kompleks Sukan Menglait.
I-Team (kelabu) menang besar 14-1 ke atas Media FC dalam aksi KBVK DST 2016 di padang Kompleks Sukan Menglait.

Kedudukan menjadi 7-1 pada minit ke-32 dan walaupun babak pertama masih berbaki tiga belas minit, tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan sehingga rehat.

Namun amukan I Team belum berakhir yang terzahir dengan ledakan tiga gol berturut-turut oleh Awang Ratano untuk gol kedua, ketiga dan keempat peribadinya, masing-masing pada minit ke-50, 55 dan 71 untuk I Team mencecah sepuluh jaringan. Kemudian giliran Awang Mustapa pula meledakkan tiga gol berturut-turut, masing-masing pada minit ke-80, 82 dan 89 untuk turut mencatat empat gol peribadi sekaligus membawa pasukannya di depan dengan jaringan 13-1.

Awang Mushready bin Chuchu masih sempat memasukkan namanya dalam senarai penjaring pada masa kecederaan iaitu minit ke-90+1 untuk memuktamadkan keputusan pada kedudukan 14-1.

Perlawanan pertama Kumpulan C antara B.I.P. FC dengan Kilugus FC di Sekolah Menengah Awang Semaun berkesudahan seri tanpa jaringan, manakala perlawanan pembuka tirai Kumpulan E antara CLE’AS Veteran FC dengan KPPKSK di Kompleks Sukan Berakas terikat 1-1.