I-Team menang besar

I-Team menang besar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Enam pasukan meneruskan aksi mereka dalam merebut Piala FA DST Persatuan Bola Sepak Veteran 2016 dengan tiga perlawanan di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait, hari ini.

Di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Padang Dewan Kemasyarakatan Kilanas berlangsung perlawanan antara Pasukan I-Team menentang Pasukan Setia Bakti yang berkesudahan dengan jaringan 6–2 berpihak kepada I Team.

Hamdani Haji Tingal membuka tirai jaringan dalam perlawanan hari ini pada minit ke-19 sebelum ditambah selang enam minit kemudian oleh rakan sepasukannya Hazmy Haji Puteh untuk mendahului Setia Bakti pada minit ke-25.

Adee Suharde Muhidin merapatkan jurang jaringan apabila berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada minit ke-2 masa kecederaan dan membuka peluang Setia Bakti untuk terus berada dalam cabaran perlawanan tersebut.

Aksi perlawanan di antara I-Team menentang Setia Bakti.
Aksi perlawanan di antara I-Team menentang Setia Bakti.

Namun Mohd Saidi daripada I-Team pula menambah debaran Pasukan Setia Bakti apabila berjaya menyumbat jaringan pada minit ke- 61 babak kedua untuk menjauhkan jarak antara kedua-dua pasukan.

Semangat juang Pasukan Setia Bakti perlu diberikan pujian apabila Alfindy Haji Wasli menyumbang jaringan kedua bagi pasukannya namun nasib nampak tidak berpihak kepada Setia Bakti apabila tiga lagi gol dijaringkan oleh pemain I-Team yang dihasilkan oleh Mohd Saidi dan Hamdani yang melengkapkan hatriknya untuk menyimpul perlawanan dengan kemenangan besar 6-2.

Di Daerah Tutong pula berlangsung perlawanan di antara Pasukan MBS United menentang Pasukan Mohais FC bertempat di Kompleks Sukan Tutong yang berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Pasukan Mohais FC dengan jaringan 2-4.

Sementara itu, di Daerah Belait pula menyaksikan Pasukan RB Veteran menewaskan Pasukan Wasabi 16 dengan jaringan 2-0 yang berlangsung di Kelab Rekreasi Brunei Shell.