I Team, XNFT tampil cemerlang

I Team, XNFT tampil cemerlang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam tahun 2016 kini memasuki peringkat lapan pasukan teratas dengan dua perlawanan berlangsung di dua lokasi berbeza.

Dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, pasukan I Team berjaya menumpaskan pasukan TJFT dengan jaringan 5-3.

Pasukan I Team banyak mendominasi perlawanan dimana jaringan gol berjaya dibuat seawal minit kedua oleh Mohammad M. Othman, diikuti oleh jaringan Noormasaidrwan selang 7 minit kemudian sebelum beliau sekali lagi menyumbat masuk jaringan pada minit ke-19.

Jaringan pasukan I Team pada babak pertama ditambah oleh Ampuan Mohd Endy Azri pada minit ke-32, namun TJFT turut memberikan tentangan hebat kepada pasukan I Team apabila berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-16 melalui Keflee bin Haji Sulaiman dan Haji Ruydi Yahya pada minit ke-45.

Gambar ramai Pasukan XNFT dalam persaingan Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam tahun 2016.
Gambar ramai Pasukan XNFT dalam persaingan Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam tahun 2016.

Perlawanan kelihatan seimbang pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun I Team jelas mengganas apabila sekali lagi menggegarkan gawang TJFT pada minit ke-54 melalui Mohamad Saidi Tudin.

Meskipun TJFT ketinggalan dengan jaringan 5-2, namun semangat juang tinggi TJFT berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-84 oleh Mohd Heyrin bin Haji Zambin untuk menjadikan kedudukan jaringan 5-3.

Sementara itu pada perlawanan lain antara pasukan XNFT menentang AKSE Bersatu di Kelab Rekreasi Diraja Brunei, permainan berpihak kepada XNFT yang jelas menguasai perlawanan dengan jaringan 4-1 dan jaringan tunggal AKSE dijaringkan oleh Suhaime Mohd Yusof pada minit ke-84 perlawanan.

Manakala empat jaringan XNFT itu telah dihasilkan oleh Suni Mat Jerah, Rosli Ahad dan dua jaringan daripada Radiman Haji Abdul Rahman.