IAAF sahkan gantung Lysenko

IAAF sahkan gantung Lysenko

PARIS, 6 April – Atlet baling tukul besi Russia, Tatyana Lysenko, juara Olimpik dan dua kali bekas pemenang pingat emas dunia, digantung sementara berikutan kesalahan doping, umum Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Lysenko, dikenali dengan nama Tatyana Beloborodova selepas berkahwin, didapati positif selepas ujian semula sampel kedua dilakukan pada Kejohanan Dunia 2005 di Helsinki. IAAF bagaimanapun tidak meletakkan tarikh bila ujian itu didapati positif atau jenis bahan perangsang apa yang digunakan atlet itu.

Berita itu adalah tamparan baru buat olahraga Russia, dengan persekutuan negara itu digantung daripada kejohanan antarabangsa sejak November lalu selepas didapati berdepan dengan kes doping dan juga rasuah.

Russia juga kini bergelut membaiki reputasi sebelum mesyuarat Majlis IAAF pada Mei ini yang akan memutuskan sama ada atlet mereka dibenarkan bertanding pada Sukan Olimpik di Rio pada Ogos ini.

Tatyana Lysenko digantung buat sementara waktu berikutan kesalahan doping. - AFP
Tatyana Lysenko digantung buat sementara waktu berikutan kesalahan doping. – AFP

Bagi Lysenko, dia bakal berdepan dengan penggantungan untuk tempoh yang panjang, atlet berumur 32 tahun itu sudah pun dikenakan penggantungan dua tahun selepas didapati positif menggunakan penghalang hormon pada 2007, tidak lama selepas dia memenangi emas di Eropah 2006 dan perak di Kejohanan Dunia di Helsinki tahun sebelumnya.

Sebelum ini, empat atlet judo Rusia berada dalam senarai baru atlet yang diuji positif meldonium sekali gus menghangatkan lagi skandal bahan terlarang itu di negara berkenaan.

Sumber memberitahu agensi berita TASS, empat atlet judo itu adalah juara dunia 2012, Mikhail Pulyaev, Denis Yartsev, Natalia Kondratieva dan Yekaterina Valkova. – AFP