IAB rai Perayaan Mahatma Ghandi

IAB rai Perayaan Mahatma Ghandi

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 11 Okt – Persatuan India Belait (IAB), malam tadi, telah meraikan Perayaan Gandhi Jayanthi atau lebih dikenali sebagai Perayaan Mahatma Ghandi pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Bangunan IAB, di sini.

Perayaan tersebut, yang jatuhnya pada setiap 2 Oktober, telah dimeriahkan dengan berbagai-bagai acara termasuk pertandingan mewarna dan pertandingan penyampaian syarahan bagi penyertaan anak-anak ahli persatuan.

Lebih 30 orang menyertai kedua-dua pertandingan itu yang turut bertujuan untuk mencungkil bakat dan juga menyuntik semangat berani menyampaikan ucapan di hadapan khalayak ramai dengan tajuk syarahan mengenai sejarah kehidupan Ghandi.

Pertandingan syarahan itu dibahagikan kepada tiga kategori dengan kumpulan usia penyertaan yang berbeza, dan tema bagi pertandingan itu ialah ‘Kenapa Saya Mengagumi Ghandi’, ‘Ghandi-Ji Simbol Keamanan’ dan ‘Bagaimana Saya Praktik Dengan Bukan Keganasan’.

Timbalan Presiden IAB, Sanjay Mishra, yang turut hadir pada majlis itu, berkata tema yang diberikan dalam pertandingan syarahan adalah berdasarkan pendirian Mahatma Ghandi pada menumpaskan keganasan sehingga beliau akhirnya dianggap sebagai orang yang paling dihormati.

Salah seorang ibu yang turut memberikan sokongan kepada anaknya dalam pertandingan yang telah disediakan bagi Majlis Perayaan Mahatma Ghandi.
Salah seorang ibu yang turut memberikan sokongan kepada anaknya dalam pertandingan yang telah disediakan bagi Majlis Perayaan Mahatma Ghandi.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, beliau berkata, Mahatma Ghandi memberikan inspirasi kepada masyarakat India, dan ia perlu terus diperingati oleh generasi muda supaya mereka mengerti akan erti perjuangan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang yang telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden IAB, selain penyampaian cenderamata kepada semua peserta pertandingan sebagai salah satu budaya IAB untuk menghargai ahli-ahlinya selain menggalakkan mereka terus bergiat aktif mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA