IAB rai ulang tahun kemerdekaan India

IAB rai ulang tahun kemerdekaan India

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Ogos – Persatuan India Belait (IAB) hari ini telah meraikan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India ke-70 tahun yang disambut pada 15 Ogos setiap tahun, dalam majlis sambutan yang diadakan di bangunan persatuan tersebut, di sini.

Majlis telah dimuatkan dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai oleh kalangan ahli-ahli persatuan yang bermastautin di negara ini, di mana lebih 100 orang telah menghadiri majlis tersebut.

Presiden IAB, Awang K Salim BA Karim, dalam ucapan alu-aluannya, merakamkan ucapan tahniah setelah pencapaian 70 tahun kemerdekaan India.

Sesi bergambar ramai memperingati Majlis Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India kalangan ahli-ahli Persatuan India Belait.
Sesi bergambar ramai memperingati Majlis Ulang Tahun Hari Kemerdekaan India kalangan ahli-ahli Persatuan India Belait.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran ramai ahli-ahlinya pada majlis tersebut yang katanya menunjukkan kesepakatan dan perpaduan yang berterusan sesama mereka dan masyarakat sekitarnya di sini.

Majlis turut menyaksikan tayangan video, perutusan Perdana Menteri India kepada semua rakyat India semasa upacara sambutan Hari Kemerdekaan di India, baru-baru ini. Untuk menambahkan pengetahuan kalangan ahli dan jemputan yang hadir, kuiz juga telah diadakan. Majlis turut diisikan dengan sesi bergambar ramai dan ramah mesra antara ahli-ahli persatuan.

ARTIKEL YANG SAMA