IAB sambut Hari Deepavali

IAB sambut Hari Deepavali

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 25 Nov – Persatuan India Belait (IAB) telah meraikan Hari Deepavali tahun ini dengan majlis sambutan yang dihadiri oleh lebih 600 orang dan menampilkan berbagai-bagai persembahan tarian klasik dan tradisional India,

Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Tahun 2016 itu berlangsung di Pusat Insani, di sini, dan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma M. Mallick. Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

Presiden IAB, Salimo Karim, dalam ucapan alu-aluannya, merakamkan penghargaan atas sokongan masyarakat, terutama sekali dalam kalangan ahli-ahli persatuan itu bagi aktiviti-aktiviti yang telah mereka adakan selama ini, selain turut merakamkan penghargaan kepada kedutaan India di negara ini yang juga telah terus memberikan sokongan yang proaktif.

Nagma M. Mallick ketika merasmikan sambutan Hari Deepavali tahun ini di Pusat Insani.
Nagma M. Mallick ketika merasmikan sambutan Hari Deepavali tahun ini di Pusat Insani.

Majlis tersebut telah diserikan dengan irama muzik yang diiringi dengan tarian para penari yang memakai pakaian berwarna-warni, melibatkan kalangan ahli-ahli persatuan dan masyarakat India di sini.

Di samping itu, majlis turut menyaksikan tayangan video mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh IAB, dari segi aktiviti kemasyarakatan seperti derma darah, sumbangan derma anak yatim dan sebagainya.

Majlis tersebut juga telah diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma bagi Tabung Amal dan Tabung Anak-anak Yatim Daerah Belait yang telah disampaikan oleh Setiausaha Agung IAB, Renjit Gopalakrishnan bersama komiti kebajikan persatuan tersebut kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA