IACC: Kerjasama Brunei-M’sia hasilkan penguatkuasaan berkesan

IACC: Kerjasama Brunei-M’sia hasilkan penguatkuasaan berkesan

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -Kerjasama dua hala antara Biro Mencegah Rasuah Brunei (ACB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghasilkan penguatkuasaan cekap dan berkesan bagi menyelesaikan kes rentas sempdan. Pengarah ACB Datuk Muhammad Juanda A. Rashid berkata sejak terjalinnya kerjasama itu pada 2002, 77 operasi bersama melibatkan pengumpulan maklumat risikan dan dan 31 penyiasatan telah diadakan.

Kata beliau, selain operasi bersama, ACB juga belajar tentang pendekatan ‘pengurusan pasukan penyiasat’, yang membolehkan SPRM menyiapkan siasatannya dengan cepat dan berkesan.

“Kerjasama dua hala dan mesyuarat tahunan membuka ruang yang amat berguna bagi kedua-dua agensi untuk berkongsi pengalaman mengenai penyiasatan bersama,” katanya sambil menjelaskan bahawa kerumitan berkaitan rasuah tidak boleh ditangani secara bersendirian.

Muhammad Juanda berkata demikian dalam sesi bengkel pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di sini. Beliau menyuarakan perkara itu ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pembasmian Rasuah oleh Pihak Berkuasa: Apa Yang Berjaya dan Apa Yang Tidak Kena’, bersama-sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali; bekas Timblan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong Daniel Li Ming Chak; dan pengasas bersama Transparency International Michael Hershman.

Anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Seri Azman Ujang bertindak sebagai moderator.

Persidangan tiga hari itu, yang dihadiri kira-kira 1,000 wakil dari 130 negara, bermula semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

ARTIKEL YANG SAMA