IAG Coffee House buka cawangan kedua

IAG Coffee House buka cawangan kedua

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk membangun sektor swasta, It’s a Grind Coffee House memainkan peranannya untuk membantu sebilangan belia dan pencari kerja untuk melarikan diri dari belenggu zon keselesaan.

Perkara itu dinyatakan oleh wakil rakan francais It’s a Grind (IAG), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi cawangan kedua IAG yang terletak di Citis Square.

Beliau turut menambah, para francais melihat peluang-peluang untuk para peniaga tempatan untuk membina dan menubuhkan perniagaan francais, yang mana dengan membina bidang perniagaan itu, kumpulan mereka dapat memberikan peluang pekerjaan kepada warga tempatan dan melatih mereka untuk mendapatkan kemahiran yang diperlukan.

“Siapa tahu suatu hari nanti mereka juga akan menjadi peniaga yang berjaya,” ujarnya lagi.

Cawangan kedua IAG Coffee House dibuka rasmi.
Cawangan kedua IAG Coffee House dibuka rasmi.

Sementara itu, Pengetua JPM Food & Beverages (F&B) Trading Company, Haji Antuna Ahssan pula dalam ucapannya menjelaskan rasa berbangganya untuk menerima kehadiran Yumll Restaurant and Catering ke keluarga It’s A Grind Coffee House.

“Pasukan di Yumll mengongsikan semangat dan nilai dan dapat mengukuhkan lagi jenama IAG, kopi terbaik dengan perkhidmatan yang terbaik. Ia telah pun terbukti dengan peningkatan penerimaan dan pemahaman mengenai peluang-peluang ‘franchising’ di Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

Antara yang hadir di majlis memotong reben pelancaran cawangan keduanya itu ialah pengetua-pengetua JPM F&B Trading Company, Haji Antuna Ahssan dan Pengiran Hajah Jamilah binti Pengiran Matarasat serta wakil-wakil rakan francais yang terdiri dari Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan, Pengiran Anak Taqriz Nabil bin Pengiran Anak Dato Haji Tahiruddin dan Raghu Veer Sing.

Cawangan kedua IAG Coffee House beroperasi bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.

ARTIKEL YANG SAMA