Iannone terpantas sesi ujian di Qatar

Iannone terpantas sesi ujian di Qatar

DOHA, 20 Mac (AFP)– Penunggang Itali dan Ducati, Andrea Iannone melaungkan amaran awal kepada Yamaha dan Honda dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), musim ini selepas menguasai sesi ujian perlumbaan pembuka musim di Grand Prix Qatar, kelmarin.

Diberi jolokan ‘The Maniac’, Iannone yang menamatkan perlumbaan di Litar Losail, tahun lalu di tempat ketiga sekali lagi mempamer aksi terbaiknya selepas melakukan catatan terpantas 1 minit 54.639 saat.

“Kami menamatkan ketiga-tiga sesi ujian bebas dengan catatan terbaik jadi bagi kami hari ini adalah hari yang positif,” kata Iannone.

“Kami bekerja amat keras dan jentera kami juga amat kuat jadi kami boleh meneruskan laluan ini dan membuat peningkatan yang berterusan.”

Juara bertahan, Jorge Lorenzo dari Yamaha merekodkan masa kedua terpantas, ketinggalan 0.137 saat manakala juara dunia 2013 dan 2014, Marc Marquez ketiga bersama jentera Honda, ketinggalan 0.196 saat.

“Pada sesi ujian pertama, ada sedikit angin dan kami banyak bergelut untuk beraksi secara kompetitif berbanding pelumba-pelumba lain dan angin itu memang mengganggu kami sedikit,” kata Lorenzo.

“Pada sebelah petang, terutama pada pusingan terakhir, tiada angin di litar dan kami mampu menjadi lebih kompetitif dan menggunakan tayar yang berbeza.”

Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi yang memenangi perlumbaan di Qatar pada 2015 sekadar melakukan masa ketujuh terpantas, 0.538 saat di belakang Iannone.

Rossi, 37 dan beraksi pada musim ke-21 di Kejuaraan Motosikal Dunia mengakui dia bergelut dengan pelarasan dan penggunaan tayar ketika sesi ujian.

“Ujian ketiga sedikit positif. Namun malangnya saya mempunyai masalah dengan enjin bersama jentera pertama saya, jadi kami menukar jentera dan jentera kedua saya mula merasa baik,” kata legenda Itali itu.

Seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang menamatkan perlumbaan 12 bulan lalu di belakang Rossi merekodkan masa keempat terpantas diikuti penunggang Suzuki, Maverick Vinales kelima mengatasi penunggang Honda, Dani Pedrosa.

Dalam kelas Moto2, penunggang Britain, Sam Lowes yang kini menunggang jentera Kalex memperbaharui rekod terpantas litar manakala pelumba Belgium, Livio Loi yang menunggang Honda terpantas dalam kelas Moto3.