IATA gesa penambahbaikan segera

IATA gesa penambahbaikan segera

SINGAPURA, 22 Sept – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini menggesa sesetengah negara di Asia Tenggara (SEA) untuk menambah baik infrastruktur lapangan terbang dan kawalan trafik udara (ATC) mereka berikutan jangkaan pertumbuhan kukuh perjalanan udara di rantau ini.

Dengan menyebut Indonesia dan Filipina secara khusus, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah IATA, Alexandre de Juniac berkata, kapasiti lapangan terbang mereka perlu ditingkatkan manakala keperluan ATC perlu dirasionalisasikan.

“Mereka perlu ditingkatkan secara dramatik. Ia adalah tugas kita (IATA) untuk mendesak (mereka untuk meningkatkannya),” katanya pada sidang akhbar sempena Simposium Kewangan Dunia IATA di sini, hari ini.

de Juniac yang mengambil alih jawatan tertinggi IATA tiga minggu lalu berkata: “Pertumbuhan ekonomi rantau ini adalah kukuh. Infrastruktur perlu ditingkatkan seiring dengan pertumbuhan itu.”

Data terbaru IATA menunjukkan trafik syarikat penerbangan Asia-Pasifik meningkat 9.8 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Kapasiti meningkat 8.6 peratus dan faktor muatan melonjak 0.9 peratus kepada 81.7 peratus. Trafik antarabangsa dalam Asia naik 8.1 peratus, tertinggi dalam tempoh empat bulan.

IATA mewakili kira-kira 265 syarikat penerbangan yang menyumbang 83 peratus daripada trafik udara global.

Sementara itu, dalam ucaptama beliau di simposium berkenaan,  de Juniac menggesa untuk kepantasan dan inovasi bagi membolehkan penerbangan terus menyumbang manfaat sosial dan ekonomi yang besar.

“Penerbangan adalah perniagaan kebebasan. Kita menjadikan mobiliti global wujud di mana sahaja,” katanya. – Bernama