IATA sambut baik perjanjian karbon bersejarah ICAO

IATA sambut baik perjanjian karbon bersejarah ICAO

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyambut baik perjanjian karbon bersejarah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menstabilkan pelepasan karbon dengan pertumbuhan neutral karbon.

Sebanyak 191 negara anggota di Perhimpunan ICAO ke-39 yang berakhir semalam di Montreal, Kanada, bersetuju untuk melaksanakan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan berkata CORSIA merupakan skim global pertama yang meliputi keseluruhan sektor perindustrian.

“Perjanjian CORSIA yang telah menyaksikan persediaan selama bertahun-tahun itu kini menjadi satu penyelesaian efektif bagi syarikat-syarikat penerbangan untuk menangani jejak karbon mereka.

“Perjanjian ini memastikan sumbangan ekonomi dan sosial industri penerbangan sepadan dengan usaha mutakhir bagi mencapai kelestarian.

“Dengan CORSIA, industri penerbangan terus berada di barisan hadapan dalam usaha menangani perubahan iklim,” katanya.

de Juniac berkata CORSIA dijangka bermula dengan tempoh suka rela (2021-2026) yang mana selepasnya ia akan menjadi mandatori.

“Kesungguhan dan komitmen negara-negara dalam tempoh suka rela adalah membanggakan malahan negara-negara yang biasanya tidak diminta menyertainya seperti negara pulau kecil dan ekonomi membangun, menunjukkan komitmen mereka memeterainya,” katanya.

Dengannya sendiri, katanya, CORSIA tidak akan membawa kepada masa depan lestari bagi industri penerbangan.

“Bersama dengan langkah berdasarkan pasaran global ini, industri akan terus memacu strategi empat tonggaknya bagi perubahan iklim, terdiri daripada penambahbaikan dalam teknologi, operasi dan prasarana, dilengkapkan oleh CORSIA,” kata de Juniac. – Bernama