IATA semak unjuran keuntungan bersih

IATA semak unjuran keuntungan bersih

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) – Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyemak naik unjuran keuntungan bersih industri berkenaan kepada AS$29.3 bilion.

Dengan anggaran hasil sebanyak AS$727 bilion, industri itu akan mencatat margin keuntungan bersih 4.0 peratus, kata IATA dalam satu kenyataan.

Pengukuhan itu daripada keuntungan bersih AS$16.4 bilion pada 2014 (disemak semula daripada AS$19.9 bilion itu mencerminkan impak bersih beberapa faktor global, termasuk prospek ekonomi global yang lebih kukuh, faktor rekod muatan, kos bahan api yang lebih rendah dan peningkatan nilai mata wang AS,” katanya.

Pada mesyuarat agung tahunan IATA, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tony Tyler berkata ekonomi serantau bagaimanapun mencatatkan perkembangan yang berbeza.

“Bagi perniagaan syarikat penerbangan, 2015 kini beralih menjadi tahun yang positif. Sejak peristiwa tragis September 2001, industri penerbangan global telah melakukan transformasi dan meningkatkan kecekapan.

“Ini jelas terbukti dengan rekod muatan penumpang yang lebih tinggi, sebanyak 80.2 peratus tahun ini, keuntungan purata margin bersih 4.0 peratus. secara puratanya, syarikat penerbangan akan mengekalkan AS$8.27 bagi setiap penumpang yang dibawanya,” katanya.

Lebih separuh daripada keuntungan global dijangka dijana oleh syarikat penerbangan yang berpangkalan di Amerika Utara.

Bagi syarikat penerbangan Amerika Utara, IATA berkata margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dijangka melebihi 12 peratus, lebih daripada dua kali ganda daripada rantau kedua terbaik – Asia Pasifik dan Eropah.

Di peringkat industri, IATA berkata kejayaan penting yang telah dicapai dengan pulangan ke atas modal yang dilaburkan (ROIC) sebanyak 7.5 peratus.

“Buat kali pertama, purata industri ROIC akan melebihi kos modal, yang susut kepada 6.8 peratus, dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang lebih rendah.

“Purata industri ini bagaimanapun, dikuasai oleh syarikat penerbangan di Amerika Syarikat, yang memperoleh manfaat terbesar akibat penurunan harga bahan api yang menggunakan dolar, penstrukturan semula ekonomi dan industri tempatan yang kukuh,” katanya.