IBA DARe 26 Mei ini

IBA DARe 26 Mei ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Usaha terus ditingkatkan untuk memperkasakan bidang keusahawanan tempatan dengan mengadakan pelbagai program untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan asas para usahawan tempatan supaya mereka mampu untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perusahaan mereka dengan lebih mapan.

Dalam hubungan itu, DARe (Darussalam Enterprise) akan memulakan pengajian bagi Program Pembangunan dan Pembelajaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Akademi Perniagaan Industri (IBA) pada 26 Mei di Bangunan Rekaan dan Teknologi serta iCentre.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, program bagi PKS itu dihasratkan untuk membangunkan lebih banyak perusahaan yang mapan serta mempunyai asas yang kukuh untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perusahaan berkenaan. Program IBA itu telah menarik sebanyak 44 penyertaan di mana ia dibahagikan kepada tiga peringkat kematangan PKS dengan IBA peringkat 1 bagi PKS baru dan perusahaan mikro, IBA peringkat 2 bagi PKS dan IBA peringkat 3 bagi syarikat sudah lama ditubuhkan.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi semua peringkat IBA, satu modul khas diajarkan kepada para peserta di mana modul itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kurikulum umum dan topik-topik khas.

Kurikulum umum akan menyediakan gambaran keseluruhan mengenai memulakan perniagaan bagi IBA peringkat 1, cara untuk menjalankan perniagaan bagi IBA peringkat 2 dan kaedah untuk mengembangkan perniagaan bagi IBA peringkat 3.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa antara modul-modul yang akan diajar dalam beberapa minggu yang mendatang itu termasuk cara untuk menghasilkan pelan perniagaan, mendapatkan pembiayaan dan memasuki pasaran luar negara.

Sementara itu, topik-topik khas yang akan diajar melalui program itu akan memberikan penerangan mengenai peluang-peluang perniagaan dalam pelbagai sektor industri dan dasar-dasar yang terdapat dalam pelbagai industri berkenaan termasuk binaan, makanan dan ICT.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi peserta atau pemudah cara bagi program IBA itu, mereka boleh menghubungi DARe di talian 8363442 atau e-mel ke dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA