IBA pertingkat kemahiran peniaga PKS

IBA pertingkat kemahiran peniaga PKS

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Akademi Industri Perniagaan (IBA) di bawah Darussalam Enterprise (DARe) memulakan modul pertamanya bertajuk ‘Mendapatkan Kewangan’ yang diperkenalkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) di iCentre.

Seramai 42 orang peniaga menghadiri modul berkenaan pagi tadi, di mana ia telah disampaikan oleh Pengurus Kanan Perbankan Korporat SME BIBD, Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail yang berkongsi mengenai perkhidmatan-perkhidmatan BIBD terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana dan keperluan kriteria bagi layak untuk perkhidmatan diluluskan.

Antara yang diterangkan termasuk mengenai kemudahan perkhidmatan korporat BIBD, yang terdiri daripada pembiayaan, nasihat perniagaan, pembiayaan perdagangan, perbendaharaan, akaun semasa, pelaburan simpanan dan korporat perbankan Internet.

Timbalan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Ja’afar mengongsikan bahawa modul ini berkisar mengenai tawaran pembiayaan kepada pengusaha-pengusaha baru yang ingin mencuba atau sudah mempunyai perniagaan masa ini terutama dari segi kewangan.

Pengiran Sanusi Iskandar ketika memberikan penerangan mengenai program tersebut.
Pengiran Sanusi Iskandar ketika memberikan penerangan mengenai program tersebut.
Antara yang menghadiri program tersebut.
Antara yang menghadiri program tersebut.

“Mudahan BIBD dapat memberi peluang akses perbankan BIBD kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar BIBD sebagai sebuah bank tempatan menjadi peneraju dan membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia membangunkan ekonomi Negara.

IBA merupakan program pembelajaran dan pembangunan bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan dibukakan kepada kesemua peringkat perniagaan dengan pelbagai peringkat kemahiran yang berbeza dari syarikat yang baru tertubuh sehingga syarikat yang sudah ada.

Ia bertujuan untuk membuka jalan kepada PKS supaya berjaya mencapai matlamat mereka dalam memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka.

IBA akan diteruskan esok dengan tajuk ‘Writing a Business Plan’ bermula jam 8:30 pagi di iCentre. Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 8363442 atau e-mel kepada dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA