Ibadah korban hidupkan kembali amalan gotong-royong

Ibadah korban hidupkan kembali amalan gotong-royong

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Sept – Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan melaksanakan ibadah korban iaitu penyembelihan haiwan-haiwan seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Ibadah korban menjadi suatu tuntutan yang sudah setentunya mendapat kelebihan serta ganjaran pahala daripada Allah bagi sesiapa sahaja yang mampu dan bersungguh-sungguh melakukannya.

Menyedari akan fadilatnya, setentunya umat Islam tidak mahu melepaskan peluang untuk merebutnya sama ada secara persendirian mahupun berkumpulan, terutama sesama ahli keluarga dan sebagainya.

Begitulah juga yang diamalkan oleh keluarga Awang Irwan Dino bin Nordin, yang mengadakan majlis ibadah korban tahun ini buat kali ketiga berturut-turut, antara lain untuk mendapatkan ganjaran pahala, di samping mengeratkan ikatan silaturahim antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling, serta berpeluang bersedekah dengan mengagihkan daging-daging ibadah korban kepada yang berhak menerimanya iaitu asnaf fakir miskin.

Awang Irwan Dino yang mengetuai Majlis Ibadah Korban Keluarga, ketika ditemui berkata, majlis itu diadakan agar mereka dapat menghidupkan kembali amalan bekerja secara bergotong-royong sesama ahli keluarga dan jiran tetangga dan sebagainya.

Haji Asminan ketika menyempurnakan penyampaian agihan daging ibadah korban keluarga Awang Irwan Dino.
Haji Asminan ketika menyempurnakan penyampaian agihan daging ibadah korban keluarga Awang Irwan Dino.

“Majlis kami disusun dengan sempurna, seperti membentuk ahli jawatankuasa, bagi pengurusan menumbangkan binatang korban, menyembelih, melapah, menimbang dan seterusnya pengagihan, selain bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Daerah Belait, JAPEM dan Jabatan Hal Ehwal Ugama Kuala Belait, yang memberikan kami senarai nama-nama yang berhak menerima agihan daging korban yang berdaftar dengan jabatan mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi pada tahun ini jumlah binatang korban mereka meningkat kepada dua ekor kerbau dan dua ekor kambing, manakala pada tahun lepas seekor kerbau dan lima ekor kambing, dan penerima pada tahun ini seramai 117 orang.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterunya menyempurnakan penyampaian agihan daging ibadah korban pada majlis tersebut yang diadakan di kediaman Awang Irwan Dino di Jalan Parak RPN Panaga, ialah Ketua Pegawai Ugama Kuala Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.