Ibadah korban semarak musim haji

Ibadah korban semarak musim haji

Oleh Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Hari Raya Aidiladha terus disemarakkan dengan majlis ibadah korban dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan, swasta, persatuan serta orang persendirian di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan tidak ketinggalan mengadakan ibadah korban ini yang dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Unit Pendidikan Khas dan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Lambak Kanan hari ini.

Hadir mengagihkan daging korban kepada 123 penerima afdal tersenarai di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, timbalan setiausaha tetap, ketua pengarah, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

Tahun ini, seramai 19 orang pegawai dan kakitangan kementerian itu menyertai ibadah yang mengorbankan enam ekor kerbau.

Menteri Pendidikan mengagihkan daging korban kepada para penerima. - Gambar Hakim Hayat.
Menteri Pendidikan mengagihkan daging korban kepada para penerima. – Gambar Hakim Hayat.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa mengagihkan daging korban kepada penerima-penerima.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa mengagihkan daging korban kepada penerima-penerima.

Majlis dihadiri 400 jemputan terdiri daripada peserta korban, warga kementerian dan penerima agihan daging korban.

Manakala Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengorbankan tiga ekor kerbau tahun ini dalam majlis ibadah korban yang dianjurkan bersama oleh Bahagian Pengurusan dan Kewangan serta Bahagian Dasar dan Perancangan di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KSSUP

Hadir menyampaikan agihan daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya daripada kalangan warga KSSUP ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali hadir selaku tetamu kehormat.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Di Kementerian Perhubungan pula, daging-daging korban diagihkan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat kepada 47 orang anak-anak yatim dan warga kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan di Berakas.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa mengagihkan daging korban kepada seorang penerima cilik.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa mengagihkan daging korban kepada seorang penerima cilik.

Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Meteorologi itu disertai 62 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang menumbangkan tujuh ekor kerbau.

Majlis yang merupakan aktiviti keagamaan tahunan itu juga disemarakkan dengan takbir Hari Raya Aidiladha beramai-ramai diketuai oleh Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA