Ibadah korban terus muliakan

Ibadah korban terus muliakan

Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Hari Raya Aidiladha yang masuk hari kedua terus meriah dengan beberapa kementerian turut mengadakan majlis ibadah korban masing-masing.

Pagi tadi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis ibadah korban yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di dewan serbaguna jabatan berkenaan.

Majlis Ibadah Korban KHEDN menyaksikan lima ekor kerbau telah dikorbankan dan dagingnya telah diagihkan kepada 30 orang penerima.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah dan timbalan-timbalan pengarah serta para pegawai kanan dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar yang hadir selaku tetamu kehormat.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar yang hadir selaku tetamu kehormat.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan daging korban kepada seorang penerima di Dewan Serba guna Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan daging korban kepada seorang penerima di Dewan Serba guna Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, kelmarin.
Tetamu kehormat menyampaikan daging korban kepada penerima.
Tetamu kehormat menyampaikan daging korban kepada penerima.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima.

Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) juga menyemarakkan acara kebesaran Islam di bulan Zulhijjah ini dengan mengadakan majlis korban di Dewan Digadong, KKBS.

Majlis yang diadakan sebagai penghayatan ibadah korban yang banyak memberi pengajaran dan iktibar di samping meraih rahmat dan keredaan Allah S.W.T itu juga memberikan peluang kepada umat Islam, khususnya warga KKBS untuk membuat kebajikan dan berkongsi kegembiraan merayakan Aidiladha bersama golongan yang kurang berkemampuan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Acara yang dimulakan dengan sembahyang fardhu Asar berjemaah di Surau Bangunan KKBS dan laungan Takbir Hari Raya itu diteruskan dengan satu tazkirah khas disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.

Tetamu kehormat kemudiannya menyempurnakan pengagihan daging korban dan akikah berupa seekor kerbau dan seekor sapi kepada kira-kira 100 orang penerima yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan serta kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

pg03_160914_d

Pemangku Menteri Kewangan II menyampaikan daging korban kepada penerima.
Pemangku Menteri Kewangan II menyampaikan daging korban kepada penerima.

Bagi Kementerian Kewangan pula, majlis ibadah korban yang diselaraskan oleh Jabatan Perbendaharaan menyaksikan lima ekor kerbau, tiga ekor sapi dan tiga ekor kambing telah dikorbankan dalam satu majlis yang melibatkan 50 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan.

Agihan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pemangku Menteri Kewangan II, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah itu menyaksikan seramai 40 orang peserta asnaf yang tersenarai di Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menerima daging korban.

Menurut Dato Paduka Haji Hisham, majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan bagi memperingati dan menyemarakkan lagi sambutan hari kebesaran Islam (Hari Raya Aidiladha) di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai dan kakitangan kementerian tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA