Ibadah sembah...

Ibadah sembahyang besar ganjarannya

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Sembahyang bukan sahaja merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan malah ia juga mempunyai ganjaran yang amat besar.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, sembahyang dapat membentuk dan menyelamatkan manusia daripada azab akhirat. Di samping itu sembahyang juga dapat menghilangkan rasa resah gelisah dan boleh memberikan ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

“Sembahyang boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Sembahyang juga dapat membantu dalam menangani pelbagai gejala sosial yang boleh merosakkan kehidupan masyarakat seperti rasuah, merokok, zina dan perbuatan maksiat yang lain. Sembahyang adalah kunci utama untuk kita mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata\ʼala,” jelas khatib.

Menurut khatib, ibadah sembahyang adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana sembahyang merupakan tiang agama, maka sesiapa yang mengerjakan sembahyang bererti ia telah menegakkan agamanya dan barang siapa yang meninggalkannya bererti ia telah merobohkan agamanya.

Namun, ringan atau berat sembahyang itu bergantung kepada keimanan seseorang. Semakin beriman seseorang itu bererti semakin mudahlah dia mengerjakan sembahyang, sebaliknya jika kurangnya iman seseorang itu terhadap Allah dan RasulNya maka akan berasa berat dan malaslah ia untuk mengerjakannya, kata khatib.

Khatib turut menekankan mengenai tanggung jawab ibu bapa untuk membimbing anak-anak untuk mengerjakan sembahyang pada waktu umur muda kerana kecuaian berbuat demikian akan menyebabkan kesukaran untuk mendidik mereka apabila dewasa kelak.

Menurut khatib lagi, di zaman yang serba moden ini, ia membuatkan manusia semakin sibuk dengan bermacam aktiviti dalam kehidupan. Hal ini jika tidak ditangani dengan bijak menyebabkan kita lalai dan leka dengan kesibukan tersebut. Dengan kesibukan ini, janganlah ia menjadi alasan utama bagi kita untuk melalaikan dan meninggalkan sembahyang.

“Sembahyang tetap wajib ditunaikan pada waktunya. Kesempurnaan ibadah sembahyang menentukan kesempurnaan ibadah yang lain. Sebaliknya kecuaian mendirikan sembahyang boleh menjejaskan ibadah yang lain. Oleh yang demikian pentingnya ibadah sembahyang ini kerana ia merupakan amalan yang pertama sekali dihisab oleh Allah Subahanahu Wata\ʼala diakhirat nanti.”

ARTIKEL YANG SAMA