IBFC tumpu pengurusan harta, kewangan Islam

IBFC tumpu pengurusan harta, kewangan Islam

LABUAN, 30 Okt (Bernama) – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menyasar terus menumpukan untuk memudahkan urus niaga perniagaan dan penyelesaian pengurusan harta, serta kewangan Islam, kata Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Ahmad Hizzad Baharuddin.

“Kami akan menumpu menawarkan struktur undang-undang seperti amanah swasta dan yayasan yang akan melindungi harta dan memastikan kesinambungan perniagaan bagi generasi akan datang.

“Bagi kewangan Islam, Labuan IBFC mempunyai produk khusus ‘Waqf’, instrumen Islam yang hampir sama dengan amanah dan yayasan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Ulang Tahun Ke-25 Labuan IBFC, di sini, hari ini.

Persidangan itu diadakan sebagai sebahagian daripada ulang tahun Ke-25 Labuan IBFC sebagai pusat kewangan yang menghubungkan ekonomi Asia. Ahmad Hizzad berkata tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah faktor kejayaan bagi Labuan IBFC untuk mencapai wawasan menjadi pusat kewangan terkemuka.

“Kami menyediakan prasarana yang perlu, yayasan undang-undang dan kemudahan perniagaan. Sasaran kami sekarang adalah untuk memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memacu pusat kewangan itu,” katanya.

Beliau berkata perniagaan unik yang ditawarkan oleh Labuan IBFC terus menarik perbadanan multinasional dari seluruh dunia ke sini. Berkongsi perangkaan terbaharu, beliau berkata pada September 2015, sejumlah 12,281 syarikat kini beroperasi di Labuan IBFC.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd Danial Mah Abdullah berkata sambutan jubli perak Labuan IBFC bermula dengan ASEAN Roadshow 2015 Labuan IBFC di Kuala Lumpur pada Mei sebelum ia diadakan di Manila, Jakarta, Bangkok dan Singapura dengan peringkat akhir diadakan di Hong Kong bulan lepas.

ARTIKEL YANG SAMA