Ibra: Ayuh Sweden!

Ibra: Ayuh Sweden!

LONDON, 13 Nov (Reuters) – Penyerang Sweden Zlatan Ibrahimovic menegaskan Piala Dunia tahun lalu tidak menarik untuk ditonton tanpa kehadirannya dan berharap pisang tidak berbuah dua kali apabila mereka berdepan Denmark bagi memburu tempat ke Euro 2016.

Pertembungan negara jiran Scandinavia itu satu daripada empat aksi play-off bagi memenuhi empat tempat terakhir ke kejohanan di Perancis tahun depan yang ditambah kepada 24 pasukan.

Norway dan Hungary memulakan aksi di Oslo awal pagi tadi, manakala Bosnia menanti kunjungan Ireland di Zenica awal pagi esok.

Awal pagi Ahad ini, Ukraine menjadi hos buat Slovenia di Lviv, manakala Sweden menentang Denmark di Stockholm.

Ibrahimovic, 34, yang masih menjadi senjata utama Sweden, dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan negara itu buat kali ke-10 Isnin lalu, memenuhi janjinya tahun lalu untuk menerima anugerah itu sekali lagi.

“Saya tidak tahu jika saya boleh berjanji perkara sama bagi tahun depan,” kata Ibrahimovic, yang boleh beraksi pada Sukan Olimpik tahun depan sebagai seorang daripada pemain lebih usia.

Aksi play-off itu mungkin menjadi perlawanan terakhir buat kedua-dua jurulatih Erik Hamren dan Morten Olsen. Sesudah gagal layak ke Piala Dunia di Brazil, pengendali Sweden Hamren tidak mungkin meneruskan tugasnya jika mereka tersingkir begitu juga Olsen yang pasti melepaskan jawatan apabila impian Denmark berkubur.

Kedua-dua pasukan berdepan masalah kecederaan pemain tengah dengan Denmark kehilangan Pione Sisto dan Leon Andreasen manakala Sweden tanpa khidmat Albin Ekdal dan Pontus Wernbloom.

ARTIKEL YANG SAMA