Ibra kembali menyengat

Ibra kembali menyengat

MANCHESTER, 30 Sept – Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk gol pada minit ke-69 bagi membantu Manchester United dalam kempen Liga Europa untuk kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Zorya Luhansk awal pagi tadi.

Tewas 1-0 kepada Feyenoord dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, pasukan Jose Mourinho bergelut untuk melepasi tembok lawan dari Ukraine sehinggalah membawa masuk Wayne Rooney dari bangku simpanan.

Kapten England itu terlepas cubaan jaringan namun Ibra menanduk masuk bola bagi membantu United berada di tempat kedua dengan satu mata di belakang pendahulu, Fenerbahce yang akan ke Old Trafford 20 Oktober ini.

“Amat sukar,” kata Mourinho. “Kami mempunyai peluang pada babak pertama. Kami sepatutnya menjaringkan gol dan ia akan menjadi permainan yang berbeza. Tetapi kami tidak dapat.

Ibrahimovic (kanan) menanduk masuk bola untuk jaringan tunggal permainan dalam kemenangan Man United semasa menentang Zorya Luhansk pada perlawanan Liga Europa di stadium Old Trafford, kelmarin. – AFP
Ibrahimovic (kanan) menanduk masuk bola untuk jaringan tunggal permainan dalam kemenangan Man United semasa menentang Zorya Luhansk pada perlawanan Liga Europa di stadium Old Trafford, kelmarin. – AFP

“Mereka sangat tersusun dan ramai pemain bagi mengawal bola tetapi juga mempunyai pemain bersedia melakukan sesuatu untuk serang balas. Ia adalah sukar dan kami perlukan kemenangan.

“Seminggu, tiga kekalahan. Seminggu, tiga kejayaan. Tetapi saya tak kecewa dan tidak terlalu gembira dengan itu.”

Ia jauh daripada persembahan sebenar United tetapi semakin berubah selepas tiga kekalahan berturut-turut yang menyebabkan momentum musim mereka terjejas. – AFP