Ibra laung amaran

Ibra laung amaran

LONDON, 10 Mac (AFP) – Zlatan Ibrahimovic memberi amaran betapa Paris Saint-Germain (PSG) akan terus mengganas selepas dirinya menjadi inspirasi kepada pasukan ketika menewaskan Chelsea dalam saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, semalam.

Penyerang Sweden itu menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-1 di Stamford Bridge untuk melengkapkan agregat 4-2 dan seterusnya mara ke suku akhir buat kali keempat berturut-turut.

Pernah dikeluarkan padang ketika PSG menyingkirkan Chelsea di pentas sama musim lalu, Ibrahimovic menjadikan kemunculannya kali ini di barat London dirasai semua pihak dan bertekad betapa juara Perancis itu akan melakar sesuatu dalam kejohanan ini.

Ibra meraikan jaringan semasa menentang Chelsea di Stamford Bridge kelmarin. – AFP
Ibra meraikan jaringan semasa menentang Chelsea di Stamford Bridge kelmarin. – AFP

“Saya bermain lebih 20 minit di atas padang tahun ini!,” katanya dalam satu temubual bersama BT Sport. “Kami bermain dengan baik, sangat stabil. Kami bermain dengan tenang dan apabila berdepan peluang melakukan penyudah, kami menjaringkan dua gol.

“Secara keseluruhannya, permainan kami berlangsung seperti dirancang. Bukan mudah, kamu perlu sentiasa berwaspada. Pemain hadapan Chelsea mampu melakukan apa-apa saja.

“Apapun, kami dapat melakukan perkara yang diinginkan.

“Di mana kami akan berakhir, itu kami belum tahu tetapi kami masih belum berpuashati lagi.”