Ibra terkejut gagal bereskan penalti

Ibra terkejut gagal bereskan penalti

PARIS, 7 April (Reuters) – Tiada apa yang mampu mengganggu fokus Zlatan Ibrahimovic namun penyerang Sweden itu terkejut apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Paris Saint German seri 2-2 menentang Manchester City pada aksi suku akhir pertama Liga Juara Juara, semalam.

Berdasarkan statistik yang diterbitkan oleh L’Equipe tahun lalu, Ibrahimovic dan juga bintang Real Madrid Crisitiano Ronaldo, memiliki peluang kejayaan paling tinggi untuk menyempurnakan sepakan penalti dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini di lima liga utama Eropah.

Oleh itu, dia mengakui terkejut apabila sepakan penalti yang diambilnya berjaya diselamatkan Joe Hart pada minit ke-14, penjaga gol sama yang ditewaskan empat kali olehnya ketika Sweden menewaskan England 4-2 pada aksi persahabatan 2012.

“Kami melakukan kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan. Saya terlepas sepakan penalti itu tetapi itulah yang terjadi,” kata Ibrahimovic.

Ibrahimovic ketika cuba untuk menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Manchester City di Parc des Princes, kelmarin. – AFP
Ibrahimovic ketika cuba untuk menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Manchester City di Parc des Princes, kelmarin. – AFP

Bagaimanapun, dia menebus kembali kesilapannya itu dengan meledak gol penyamaan sebelum babak pertama tamat namun dia turut terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Penyerang terbabit tidak perlu disalahkan atas kegagalan Paris Saint Germain yang gagal memperaga aksi terbaik. “Kami tidak menyerang seperti yang biasa kami lakukan sebelum ini.”

Mereka masih lagi berpeluang untuk layak ke separuh akhir pertama sejak 1995 namun mereka perlu beraksi dengan lebih baik pada aksi suku akhir kedua nanti.

“Kami masih berharap dan bergantung pada harapan. Kami mampu dan yakin untuk beraksi dengan lebih baik pada aksi selepas ini.”