Ibrahimovic bantu PSG tewaskan Wasquehal

Ibrahimovic bantu PSG tewaskan Wasquehal

PARIS, 4 Jan (AFP) – Penyandang gelaran, Paris Saint-Germain terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 1-0 di Wasquehal awal pagi tadi untuk mara ke pusingan 32 terakhir Piala Perancis, manakala Lyon dan Monaco mencatatkan kemenangan besar ke atas kelab amatur.

Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk bola hantaran Marco Verratti selepas sejam permainan, sekali gus menyaksikan pendahulu Ligue 1 itu kekal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik musim ini.

Jurulatih PSG, Laurent Blanc merehatkan beberapa pemain utama termasuk Angel di Maria, Edinson Cavani dan Thiago Silva, tetapi tetap menurunkan pasukan yang kuat termasuk Ibrahimovic, Verratti, Blaise Matuidi dan Thiago Motta.

“Mendapatkan semula rentak dalam persaingan sentiasa menjadi perkara yang paling sukar, lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang sukar,” kata Blanc selepas perlawanan kompetitif pertama

PSG berikutan cuti musim sejuk Perancis, ketika mereka pergi ke Qatar untuk sesi latihan.

“Kami lebih suka untuk bermain lebih baik pada awal permainan dan membuat perkara yang mudah, tetapi kami tidak mampu melakukan itu petang ini (awal pagi tadi). Perkara yang paling penting adalah untuk mara dan kami sudah lakukan.”

Di gelanggang lain, Lyon mempamerkan permulaan cemerlang di bawah jurulatih baharu Bruno Genesio dengan Maxwell Cornet dan Rachid Ghezzal menjaringkan dua gol selain Claudio Beauvue, Sergi Darder dan Corentin Tolisso menyumbangkan satu jaringan ketika membelasah kelab divisyen lima, Limoges 7-0.