Ibrahimovic pertimbangkan beraksi di Qatar

Ibrahimovic pertimbangkan beraksi di Qatar

PARIS, 28 Dis – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Zlatan Ibrahimovic memberi bayangan akan mempertimbangkan tawaran beraksi di Qatar apabila kontraknya bersama juara Ligue 1 itu tamat akhir musim ini.

Ibrahimovic bagaimanapun sering dikaitkan dengan perpindahan ke Major League Soccer (MLS), namun bintang berusia 34 tahun itu berkata, dia belum membuat sebarang keputusan sehingga hari ini.

“Situasi yang dihadapi ketika ini masih baru buat saya. Saya mempunyai kontrak yang bakal tamat dan ia satu pengalaman baharu.

“Saya akan menjadi bebas untuk melakukan apa saja,” kata Ibrahimovic. “Apa pun, ketika ini saya masih perlu memberi tumpuan terhadap PSG.

“Saya masih mempunyai tempoh enam bulan dalam kontrak saya dan mahu memberi yang terbaik buat pasukan. Saya tidak mempunyai destinasi seterusnya dalam pemikiran saya.

Ibrahimovic dalam salah satu aksinya di Ligue 1 Perancis. – Reuters
Ibrahimovic dalam salah satu aksinya di Ligue 1 Perancis. – Reuters

“Perpindahan ke Qatar? Saya mempunyai hubungan baik dengan (Presiden PSG) Nasser Al-Khelaifi dan pihak lain di Qatar, tetapi saya tidak mahu mengatakan apa-apa pada peringkat ini.

“Biarlah kita mengatakan yang perpindahan ke Qatar itu hanyalah sekadar satu pilihan.

“Saya menikmati permainan bola sepak saya ketika ini dan saya dapat rasakan sesuatu yang baik daripada sudut mental dan fizikal. Saya menikmati permainan saya di setiap perlawanan. Kita lihat apa yang berlaku nanti.”

Sementara itu, Ibrahimovic juga mendedahkan tidak menolak kemungkinan beralih ke bidang kejurulatihan selepas bersara, apatah lagi dia pernah menimba pengalaman di bawah jurulatih hebat seperti Jose Mourinho, Pep Guardiola, Carlo Ancelotti dan Laurent Blanc.

“Saya tidak berfikir sebagai seorang pemain,” katanya. “Saya mempunyai banyak pengalaman beraksi di bawah kendalian jurulatih hebat. Mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Apa pun, kita lihat nanti sama ada karier sebagai jurulatih itu adalah sebagai satu pilihan di penghujung karier saya nanti.” – Agensi