IBTE anjur tazkirah Maulidur Rasul

IBTE anjur tazkirah Maulidur Rasul

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 20 Jan – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) Kuala Belait, hari ini, telah mengadakan Majlis Tazkirah Maulidur Rasul S.A.W yang berlangsung di Dewan Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Majlis yang diselajurkan dengan Majlis Meraikan Saudara Baru dan Mengenang Jasa Warga IBTE Kampus MKJB itu dihadiri oleh Pemangku Pengetua IBTE Kampus MKJB, Awang Norjemee bin Jenek selaku tetamu kehormat dan diiringi oleh Pendaftar Akademi Maritim Brunei (BMA) IBTE Kampus MKJB, Pengiran Hassan bin Pengiran Haji Tajuddin.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Waqi’ah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohamad Isa bin Haji Mohd Shaipon dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis.

Turut hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis sambutan berkenaan ialah ketua-ketua jabatan dan seksyen, para tenaga pengajar, kakitangan dan pelajar kampus berkenaan.

Saudara baru yang diraikan pada majlis tersebut.
Saudara baru yang diraikan pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut. - Gambar oleh MKJB
Antara yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh MKJB

Majlis tersebut bertujuan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Keputeraan junjungan besar Rasulullah S.A.W di samping menanamkan sifat pemedulian dan merapatkan lagi hubungan silaturahim antara warga kampus berkenaan.

Ceramah yang bertajuk ‘Mewah Rezeki Dengan Sunah Rasulullah S.A.W’ telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.

Dalam ceramahnya itu, beliau antara lain menekankan tentang pentingnya bagi umat Islam bukan sahaja menghayati malahan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda bagi kesempurnaan iman secara keseluruhannya.

Tambahnya lagi, ujar beliau, mengamalkan sunnah Rasulullah seperti membaca dan mempelajari Al-Quran serta sentiasa membaca doa sebelum melakukan sesuatu pekerjaan dan mengamalkan zikir-zikir seperti istighfar serta selawat bukan sahaja dapat menghidupkan lagi rasa kecintaan kita kepada Baginda, bahkan membuka mana-mana pintu rezeki dan jalan keluar atau penyelesaian bagi mereka yang mengamalkannya.

Kemudian majlis diikuti dengan acara meraikan saudara baru, Awang Muhammad Zarif Lim bin Abdullah, sebelum ini dikenali sebagai Leonard Lim Lian, yang merupakan pelajar Tahun 1 Kursus HNTEC In Instrumentation And Control Engineering. Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban yang dipimpin oleh salah seorang guru, Awang Fahrurrazi bin Haji Awang Matali, dan kemudian penyampaian cenderahati oleh tetamu kehormat kepada saudara baru yang diraikan dan warga IBTE Kampus MKJB yang bertukar penempatan bertugas awal tahun ini serta penceramah undangan.

Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Awang Abdul Hafiiz bin Haji Adanan, pelajar Tahun 2 Diploma Marin.

ARTIKEL YANG SAMA