IBTE CET bantu tingkat kemahiran hidup pelajar

IBTE CET bantu tingkat kemahiran hidup pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan (CET), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan kerjasama Syarikat Perniagaan Malar Setia, hari ini telah mengadakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang julung-julung kalinya diadakan di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Aktiviti CSR pagi tadi itu melibatkan kira-kira 20 orang pelajar daripada Pusat Ehsan bersama 11 orang bimbingan kakitangan IBTE CET dan lima orang pengajar memasak IBTE CET yang diketuai oleh penyelaras Kursus Memasak, Dayang Rosinah binti Mohd Ariff.

Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diisikan dengan cara-cara amalan kebersihan sebelum menyediakan makanan dan sesi pengenalan bersama para peserta.

Sepanjang acara itu dijalankan, para peserta diberikan tunjuk ajar mengenai cara-cara penyediaan dan pembuatan pelbagai jenis sandwic yang telah dimudahcarakan oleh tenaga pengajar bahagian memasak IBTE CET.

Antara para pelajar Pusat Ehsan yang menyertai aktiviti tersebut.
Antara para pelajar Pusat Ehsan yang menyertai aktiviti tersebut.

Aktiviti CSR ini diadakan bertujuan untuk mendekati lagi masyarakat di Brunei Darussalam, terutamanya yang kurang berkemampuan dan memberi kemahiran hidup kepada para peserta dalam menyediakan makanan ringan.

Ia juga bertujuan untuk mengajar pelajar bagaimana untuk berdikari dalam menyediakan makanan mereka sendiri selaras dengan misi IBTE CET iaitu menyediakan lebih banyak peluang dalam pendidikan dan latihan kemahiran formal dan tidak formal untuk orang ramai.

Dalam pada itu, IBTE CET juga terus komited kepada pendekatan proaktif dan berasaskan bukti yang terus menilai dan memberi respons kepada lepasan sekolah, orang dewasa yang bekerja, masyarakat dan permintaan majikan bagi menaik taraf kedua-dua latihan akademik dan kemahiran.

ARTIKEL YANG SAMA