IBTE dianugerah ISO

IBTE dianugerah ISO

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menjadi institusi pasca menengah pertama di Negara Brunei Darussalam yang telah berjaya dianugerahkan Sijil ISO 9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS).

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, Kementerian Pendidikan mengiktiraf dan menyambut baik kerja keras dan komitmen pihak pengurusan dan kakitangan IBTE dalam sama-sama mencapai matlamat standard antarabangsa ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, pengiktirafan ini sesuai dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mentransformasi Negara Brunei Darussalam menjadi negara yang berjaya dengan masyarakat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

“Dalam usaha mencapai wawasan ini serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pendidikan teknikal adalah tunggak yang amat penting di dalam sistem pendidikan negara ini,” kata Yang Berhormat Pehin semasa berucap pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang berlangsung di Restoran Longhouse Training, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal di sini.

Menurut beliau, IBTE telah menekankan dua kualiti objektif yang ingin dicapai bagi meyokong Perintah Pendidikan Teknikal Brunei 2014, iaitu untuk mendapat peluang pekerjaan bagi 80 peratus graduan dalam jangka masa enam bulan dan untuk mencapai 70 peratus kadar kepuasan majikan terhadap graduan selepas enam bulan mereka bekerja.

Dr. Chin menyampaikan sijil kepada Arnaud Torcheux sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Dr. Chin menyampaikan sijil kepada Arnaud Torcheux sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (tengah) selaku tetamu kehormat semasa Majlis penyampaian Sijil ISO 9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) kepada IBTE di Restoran Longhouse Training, Kampus IBTE, Sultan Saiful Rijal kelmarin. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan (kiri) dan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (tengah) selaku tetamu kehormat semasa Majlis penyampaian Sijil ISO 9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) kepada IBTE di Restoran Longhouse Training, Kampus IBTE, Sultan Saiful Rijal kelmarin. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan (kiri) dan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE.

Yang Berhormat Pehin yakin dengan pengiktirafan ini, IBTE akan berada dalam kedudukan yang lebih selesa bagi mencapai matlamatnya secara berterusan di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui mobiliti pekerjaan yang lebih mudah bagi graduan kerana mereka mempunyai kecekapan dalam memenuhi keperluan industri negara ini dan juga rantau ASEAN.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Chin Wei Keh dalam ucapannya berkata, ISO 9001:2008 QMS bertujuan untuk meningkatkan Proses Interaksi Kualiti seperti Pendaftaran Pelajar, Kurikulum Reka Bentuk dan Pembangunan, Pengajaran dan Pembelajaran, dan Penilaian Peperiksaan untuk memenuhi standard yang ditetapkan.

“ISO QMS juga memberikan persediaan asas bagi IBTE untuk mencapai standard antarabangsa yang lain,” jelasnya.

Menurut Dr. Chin, kejayaan IBTE menunjukkan komitmen para pengurusan dan kakitangannya untuk menyediakan produk kualiti tertinggi dan perkhidmatan kepada pihak-pihak berkepentingan di samping mendapatkan reputasi sebagai pusat kecemerlangan latihan kemahiran.

Sementara itu Naib Presiden ‘Certification Business Line for Asia Pacific Bureau’ Veritas Singapura, Arnaud Torcheux pula menyatakan, kejayaan IBTE ini merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan diraikan hari ini.

IBTE telah menunjukkan pematuhannya dengan pelbagai keperluan piawaian antarabangsa ini yang menolak syarikat di seluruh dunia untuk proses yang lebih cekap, penambahbaikan yang berterusan dan memberi tumpuan kepada kepuasan pelanggan.

Pada majlis itu, Arnaud Torcheux menyampaikan Sijil Pengiktirafan ISO 9001:2008 IBTE kepada Dr. Chin sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi. Turut hadir juga ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

ARTIKEL YANG SAMA