IBTE, Progresif tandatangani MoA

IBTE, Progresif tandatangani MoA

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi Skim Latihan Perantisan di mana Progresif akan menerima perantis-perantis di bawah program Perantisan HNTec dalam Telekomunikasi dan IT.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Progresif, Beribi, Gadong, hari ini, ialah ahli Lembaga Pengarah Progresif, Awang Mozart bin Haji Ibrahim.

MoA berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Chin Wei Keh dan Pegawai Maklumat Teknikal Progresif, Peter Rubeck.

Peter Rubeck dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa skim berkenaan merupakan sebahagian daripada ekosistem latihan dan pembangunan yang akan melihat Progresif melabur hampir $2.8 juta dalam pembangunan keupayaan kejuruteraan.

Menurut beliau lagi, Progresif akan menjadi pusat kecemerlangan bagi kejuruteraan dan menerusi perkongsian dengan IBTE mereka akan mewujudkan sinergi yang akan memberi manfaat kepada Brunei tatkala menuju Wawasan 2035.

Dr Chin Wei Keh dan Peter Rubeck ketika bertukar-tukar memorandum perjanjian masing-masing.
Dr Chin Wei Keh dan Peter Rubeck ketika bertukar-tukar memorandum perjanjian masing-masing.

Manakala itu, Dr Chin Wei Keh pula menyatakan, skim perantisan dua sistem berkenaan menyediakan latihan kepada para pelajar untuk meminimumkan jurang kemahiran untuk memastikan pelajar sedia untuk pekerjaan apabila mereka tamat pengajian.

Jelasnya, syarikat-syarikat yang menyertai skim berkenaan tidak perlu mengekang mereka dan penjajaran rapat pengetahuan dan kemahiran boleh membawa kepada lebih kecekapan dan keberkesanan operasi mereka.

Bagi program perantisan yang berjaya, tambah beliau, adalah penting bagi syarikat-syarikat melihat nilai menyertai sistem perantisan ini.

“IBTE ingin menggalakkan syarikat-syarikat menyertai skim kerana sistem latihan perantisan ini telah berbukti berjaya di Brunei dan negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau turut menekankan, dengan negara berusaha untuk mempelbagaikan ekonominya dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Brunei, adalah penting untuk mewujudkan infrastruktur IT yang efektif dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah dalam dunia perniagaan.

Penandatanganan skim perantisan dua sistem untuk HNTec dalam Telekomunikasi dan IT ini adalah tepat pada masanya bagi memastikan bahawa permintaan tinggi tenaga kerja berkemahiran dalam sektor-sektor telekomunikasi dan IT dapat dipenuhi.

IBTE, dalam kenyataannya menjelaskan, MoA berkenaan akan menyediakan latihan yang kos efektif dijalankan dalam persekitaran pembelajaran sebenar sementara mengukuhkan lagi hubungan di antara IBTE dan rakan-rakan industrinya dalam usaha kerjasama untuk menyokong objektif-objektif kebangsaan mengenai pembangunan sumber manusia dan menggalakkan belia tempatan untuk menceburi bidang pekerjaan dalam sektor swasta, yang selaras dengan Wawasan 2035.

Menurut kenyataan itu lagi, tambahan Progresif kepada rakan-rakan IBTE yang semakin bertambah dalam menyediakan latihan perantisan, membuktikan bahawa program-program yang ditawarkan oleh IBTE adalah berkaitan dengan permintaan pasaran dan memenuhi standard industri.

Menerusi perkongsian seperti ini, IBTE berhasrat untuk meningkatkan kualiti, ketercapaian dan kecekapan latihan-latihan belia tempatan.

Para perantis berkenaan akan memulakan latihan berasaskan institusi mereka pada Ogos 2016.

ARTIKEL YANG SAMA