IBTE tekad hasilkan pelajar berbakat

IBTE tekad hasilkan pelajar berbakat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Ogos – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menjadi platform utama dalam menyumbang kepada keperluan industri dan pekerjaan bagi anak-anak tempatan, bertekad menghasilkan bakat-bakat baru dalam pendidikan teknikal dan vokasional bagi memenuhi permintaan industri-industri di Brunei Darussalam.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengetua Kampus SVSB (Sekolah Vokasional Sufri Bolkiah), Awang Akandi bin Haji Abdul Razak semasa berucap kepada penuntut-penuntut baru di Majlis Penutup Minggu Orientasi Pengambilan ke-34, Sesi Julai 2015 di Kampus IBTE-SVSB di Seria, petang kelmarin.

Beliau menjelaskan, pemahaman mengenai proses transformasi pendidikan teknik di bawah payung IBTE adalah bertujuan untuk menyusun semula sistem pendidikan teknik sejajar dengan sosioekonomi bagi keperluan industri dan permintaan pekerjaan.

“Dalam mempromosi pengajian sepanjang hayat, IBTE menawarkan program separuh masa melalui pendidikan berterusan dan latihan (CET). Sebagai penyedia pendidikan teknikal dan latihan terunggul, kursus-kursus yang ditawarkan oleh IBTE menjurus kepada perkembangan kemahiran praktikal (berasaskan kecekapan),” ujarnya.

Pengetua SVSB ketika memberi ucapan di Majlis Penutup Minggu Orientasi Pengambilan ke-34.
Pengetua SVSB ketika memberi ucapan di Majlis Penutup Minggu Orientasi Pengambilan ke-34.
Sebahagian para pelajar baru yang hadir di majlis itu, kelmarin.
Sebahagian para pelajar baru yang hadir di majlis itu, kelmarin.

Tambahnya lagi, pihak kampus juga giat berusaha sedaya upaya dalam memberi pendidikan yang semaksimum mungkin dengan tenaga pengajar yang cukup berpengalaman dan peralatan perkakas yang cukup dan terbaik dirantau ini dan berharap penuntut-penuntut yang baru memasuki alam persekolahan teknikal dan vokasional ini akan merebut sebanyak mungkin peluang yang telah diberikan kepada mereka mulai sekarang.

Pada masa yang sama, pengetua SVSB juga menekankan agar para pelajar tidak melihat pendidikan teknikal dan vokasional sebagai ‘last resort’ dalam mencari hala tuju hidup untuk membina sebuah karier.

“Masyarakat kita perlu menyedari hakikat bahawa pendidikan teknikal dan vokasional ini bukanlah pilihan terakhir untuk meneruskan pembelajaran. Orang ramai termasuk kalangan ibu bapa dan pelajar perlulah mengikis tanggapan seumpama itu kerana pendidikan teknik dan vokasional memberikan penekanan kepada kemahiran praktikal yang akan menjadi asas utama bagi mendukung pembangunan dan kemajuan ekonomi negara kita,” tekan beliau.

ARTIKEL YANG SAMA