IBTE terima 1,237 pelajar baru

IBTE terima 1,237 pelajar baru

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Seramai 1,237 orang pelajar baru Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, telah menghadiri Majlis Pelancaran Minggu Orentasi bagi pengambilan Julai 2016 yang bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pendidikan Teknik/Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Chin Wei Keh yang kemudian menyampaikan ucapan mengatakan bahawa beliau percaya program minggu orientasi anjuran Pusat dan Satelit IBTE itu akan memberi manfaat kepada semua pelajar baru terutamanya dalam menyediakan hala tuju yang jelas dalam perjalanan mereka di IBTE.

Beliau berkata, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi dan suai kenal itu pasti akan membantu mereka untuk mengurangkan kebimbangan, menggalakkan sikap positif dan merasa keseronokan dalam pembelajaran. Di samping itu, minggu orientasi ini juga menyediakan platform kepada para pelajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan kehidupan sebagai pelajar di kampus IBTE.

“Dalam era yang tidak menentu ini, setiap pelajar perlu memahami bahawa mereka adalah aset utama kepada perolehan negara yang cemerlang. Saya ingin mengingatkan para pelajar untuk mengamalkan sikap yang positif dan mempunyai keazaman yang kuat untuk berjaya,” tambahnya.

Bagi pengambilan Julai 2016 ini, sebanyak 47 program telah ditawarkan kepada para pelajar yang berjaya antaranya ialah Higher National Technical Education Certificate (HNTec) Level dalam Agroteknologi, HNTec Makmal Sains, HNTec Juruteknik Farmasi, National Technical Education Certificate (NTec) Level dalam Akuakultur, NTec tanaman dan Pengeluaran Ternakan, NTec Pemprosesan Makanan, HNTec Perniagaan dan Kewangan, HNTec Pentadbiran Pejabat, NTec Perniagaan dan Pentadbiran, HNTec Pembinaan Kejuruteraan, HNTec Geomatik, HNTec reka bentuk ruangan dalaman, NTec Seni Kerja Pembangunan dan banyak lagi.

Dr. Chin Wei Keh ketika menyampaikan ucapan ringkas dan memberikan semangat kepada para pelajar baru IBTE.
Dr. Chin Wei Keh ketika menyampaikan ucapan ringkas dan memberikan semangat kepada para pelajar baru IBTE.
Antara pelajar baru yang mengikuti minggu orientasi tersebut.
Antara pelajar baru yang mengikuti minggu orientasi tersebut.

Institut yang telah menjadi platform utama dalam menyumbang kepada keperluan industri dan pekerjaan bagi anak-anak tempatan, bertekad menghasilkan bakat-bakat baru dalam pendidikan teknikal dan vokasional bagi memenuhi permintaan industri-industri di Brunei Darussalam.

Menurut Dayang Khairunissa Ibrahim, 18, pelajar baru yang berjaya mengikuti kursus Program Kejuruteraan Telekomunikasi di Kampus IBTE Sultan Saiful Rizal Berakas melahirkan rasa gembira dan gementarnya apabila mendapat berita dari IBTE kerana berjaya mengikuti kursus program berkenaan.

Manakala, Dayang Syahirunnissa Ibrahim, 17, pelajar baru di Kampus IBTE Sultan Bolkiah Seria, berjaya mengikuti kursus program dalam Penyelenggaraan Perindutrian (Industrial Maintenance) juga berasa bersyukur kerana dapat melanjutkan pendidikannya ke institut berkenaan.

Majlis Minggu Orientasi IBTE tersebut diteruskan dengan taklimat mengenai sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Pengetua Kampus, Pusat dan Satelit, IBTE, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Hamid dan Pengetua Kampung, Pusat dan Satelit, IBTE Awang Norjemee bin Jenek,.

Taklimat tersebut telah menyentuh mengenai latar belakang IBTE sejak penubuhannya dan visi dan misi Kampus IBTE.

Sepanjang minggu orientasi berkenaan, para pelajar akan berpeluang untuk bertemu bersama pegawai, pelatih/pembimbing dan juga kakitangan kampus IBTE serta para pelajar dengan mengikuti beberapa aktiviti yang sudah disediakan mengikut program yang dipilih di beberapa kampus IBTE di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA