IBTE terima 2 helikopter

IBTE terima 2 helikopter

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Kementerian Pertahanan, melalui Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) hari ini menyerahkan dua buah helikopter BELL 212 kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dalam usahanya memperkembangkan lagi proses pembelajaran dalam Program Aircraft.

Penandatangan dokumen penyerahan aset helikopter itu berlangsung di Dewan Kuliah Jabatan Aircraft, IBTE-Kampus Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal di Berakas. Menandatangani bagi pihak TUDB ialah Pengarah Logistik, Kapten (L) Hussein bin Dato Paduka Haji Mohammad manakala IBTE diwakili oleh Pengarah Pendidikan Teknik, Dr Chin Wei Keh.

Hadir menyaksikan majlis penandatanganan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar dan Pengerusi Lembaga Urus Tadbir IBTE, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Datin Dr Haji Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari kedua-dua belah pihak. Ia diteruskan dengan tinjauan pesawat serahan di hangar TUDB di Rimba.

Dr Chin semasa berucap di majlis itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Brunei atas sumbangan dua buah helikopter itu.

Menurutnya, dengan adanya pesawat ini, IBTE yakin dapat mengembangkan lagi potensi pengajaran dan pembelajaran bagi Program Aircraft yang mula diperkenalkan dalam tahun 80an. Program itu sudah pun menghasilkan 690 orang graduan yang kini kebanyakannya berkhidmat sebagai juruteknik pesawat helikopter di TUBD.

Pertukaran dokumen penandatanganan bagi penyerahan helikopter BELL 212 di antara IBTE dan TUDB.
Pertukaran dokumen penandatanganan bagi penyerahan helikopter BELL 212 di antara IBTE dan TUDB.
Dr Chin melahirkan penghargaan semasa berucap di majlis penandatanganan itu.
Dr Chin melahirkan penghargaan semasa berucap di majlis penandatanganan itu.

Beliau turut menghargai peluang yang diberikan oleh TUDB untuk pengajar menjalani penempatan di Hangar TUDB dan percaya latihan seperti itu dapat mendedahkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran teknikal serta praktikal yang lebih relevan dan sejajar dengan keperluan industri.

IBTE juga sedang melaksanakan inisiatif transformasi yang dirancang di bawah pelan menaiktarafkan pendidikan teknikal di negara ini agar program-program yang dilaksanakan menepati keperluan industri dan pasaran pekerjaan negara, tambahnya.

Dr Chin percaya transformasi ini akan menyaksikan pembentukan kurikulum yang lebih berasaskan kaedah latihan kemahiran ataupun ‘Competency-Based Training’, latihan industri bagi meningkatkan kemahiran pedagogi tenaga pengajar, alat bantu mengajar yang menepati piawaian industri dan kerjasama erat dengan pihak berkepentingan merupakan antara elemen-elemen penting yang dilihat boleh menjadi kunci kejayaan program-program yang ditawarkan IBTE.

ARTIKEL YANG SAMA